JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak bercadang membentuk kerajaan campuran di Johor sekiranya berjaya memperoleh majoriti mencukupi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau yang mesra disapa Tok Mat berkata, kerajaan campuran hanya menjadi pilihan sekiranya tiada mana-mana parti berjaya memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk mentadbir negeri.
“Kalau BN boleh menubuhkan kerajaan sendiri, kerajaan BN akan diteruskan seperti dahulu.
“Kalau sudah cukup kerusi, tidak ada sebab mengapa kita perlu kerajaan campuran,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Minum Petang calon BN N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani di Zaidi Roti Canai, Taman Anggerik, Kempas hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri mengingatkan calon dan jentera parti agar tidak leka dengan ramalan kemenangan, apatah lagi yang dikeluarkan parti lawan.
“Semua calon tidak perlu leka dengan sebarang ramalan kemenangan, sebaliknya terus bekerja sehingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan mutlak berpihak kepada BN,” katanya.
Mohamad juga tidak menolak kemungkinan manifesto BN menjadi antara faktor utama peningkatan sokongan rakyat menjelang hari pengundian PRN Johor.
Jelasnya, manifesto BN bukan sekadar menawarkan janji baharu sebaliknya meneruskan dasar dan pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Rakyat Johor kini lebih cenderung memilih kesinambungan berbanding pertukaran dasar yang boleh menjejaskan kestabilan negeri,” katanya.
Mengulas ramalan bahawa BN mampu memenangi sehingga 53 kerusi, Mohamad mengakui ia sesuatu yang positif namun mengingatkan politik sentiasa berubah dan keputusan sebenar hanya akan ditentukan oleh pengundi.
“Kalau benar ramalan itu menjadi kenyataan, alhamdulillah tetapi dalam politik, pagi dan petang boleh berubah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















