PASIR GUDANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo hari ini mengumumkan manifestonya dengan enam tawaran utama jiak menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, Manifesto Permas itu memfokuskan penyelesaian isu infrastruktur, kesesakan lalu lintas, pembangunan belia serta pemerkasaan komuniti.
‘Manifesto bertemakan ‘Permas Kita Settle’ itu dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk setempat dengan penekanan kepada penyelesaian isu secara sistematik, inklusif dan berterusan.
“Sekiranya diberi mandat, tiga keutamaan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama,” ujar Ketua Wanita Amanah Negara (Warda) Johor itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pengumuman tawaran Sharon Harapan Permas di Bilik Gerakan Operasi Utama Harapan di Permas Jaya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Wanita Muda Amanah Nasional, Masturah Abu Bakar.
Sharon berkata, antaranya ialah melancarkan Permasku iaitu platform digital pusat sehenti bagi menguruskan aduan rakyat supaya setiap aduan dapat dipantau sehingga tindakan diambil oleh agensi berkaitan.
Kedua katanya, melaksanakan audit menyeluruh terhadap infrastruktur di seluruh DUN Permas yang melibatkan isu kesesakan akibat lokasi ‘bottle neck’, jalan rosak, banjir kilat dan kemudahan awam bagi mengenal pasti keutamaan yang perlu diselesaikan.

“Ketiga, saya akan mendekati setiap komuniti untuk mengumpulkan pandangan dan maklum balas penduduk secara sistematik bagi membentuk pelan tindakan yang lebih tepat, bersasar dan memenuhi keperluan setempat,” katanya.
Katanya, bagi tawaran kedua ialah memperjuangkan Pelan Trafik Permas 2030 sebagai pelan tindakan jangka panjang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Permas dan laluan sekitarnya.
Menurutnya, pelan itu akan dibangunkan menerusi kajian aliran trafik bersama-sama agensi berkaitan, bagi mengenal pasti penyelesaian menyeluruh yang boleh dilaksanakan secara berfasa.
“Dalam usaha memperkasakan golongan muda pula dalam tawaran ketiga, saya berhasrat mewujudkan Permas Youth Hub sebagai ruang komuniti untuk anak muda berkumpul, belajar, berkarya dan menganjurkan pelbagai aktiviti.
“Pejabat ADUN juga akan membuka permohonan setiap tahun kepada kumpulan belia untuk mencadangkan program komuniti dengan sokongan dari segi tempat, jaringan, promosi dan bantuan penganjuran,” katanya.
Tawaran keempat katanya, membabitkan wanita dan keluarga dengan memperjuangkan Permas sebagai kawasan yang lebih mesra wanita dan keluarga melalui penyediaan kemudahan awam yang mengambil kira keperluan ibu, bayi dan kanak-kanak, di samping mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan keluarga.
Bagi tawaran ke lima, Sharon juga mahu memperjuangkan pemerkasaan komuniti Sabah dan Sarawak di Permas menerusi usaha menaik taraf Pasar Borneo sebagai pusat ekonomi dan budaya, di samping membina sebuah Dewan Komuniti Borneo sebagai pusat aktiviti masyarakat.
Pada masa sama katanya, menerusi tawaran keenam, Sharon komited menjadikan Dialog Komuniti Permas sebagai platform interaksi tetap antara wakil rakyat dan penduduk.
“Pendekatan menjadikan saya akan turun padang secara berkala ke setiap zon dan komuniti bagi mendengar isu setempat, mendapatkan cadangan serta membincangkan penyelesaian secara terus bersama rakyat dan agensi berkaitan.
“Manifesto ini bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya komitmen untuk memastikan setiap isu rakyat diberi perhatian dan diselesaikan secara berperingkat demi kesejahteraan penduduk Permas,” katanya.- MalaysiaGazette
















