Naib Presiden Gerakan RESET Malaysia, Datuk Mohd Omar Mustapha berucap pada Himpunan RESET Johor di Danga Bay, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Gerakan Reset Malaysia mahu Johor mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan dan prospek setanding Singapura supaya rakyat tidak lagi bergantung kepada negara jiran itu untuk mencari rezeki.

Naib presidennya, Datuk Mohd Omar Mustapha berkata, kedudukan Johor bersempadan dengan Singapura sememangnya memberi kelebihan kepada ekonomi negeri.

Namun keadaan itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk rakyat terus bergantung kepada peluang pekerjaan di republik berkenaan.

Menurut beliau, sudah tiba masa Johor membina ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan berkualiti dengan pendapatan kompetitif agar rakyat dapat bekerja dan membina kehidupan di negara sendiri.

“Kita mahu rakyat mempunyai peluang pekerjaan yang baik di tanah air sendiri. Sampai bila kita mahu bergantung kepada Singapura untuk mencari rezeki?

“Anak-anak kita juga tidak sepatutnya melalui rutin yang sama pada masa hadapan. Mereka seharusnya mempunyai peluang untuk berjaya di negara sendiri,” katanya ketika berucap pada Himpunan Reset Johor di Danga Bay malam tadi.

Mohd Omar berkata, isu ekonomi seharusnya menjadi keutamaan kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kehidupan setiap keluarga selain menentukan hala tuju masa depan negara.

Katanya, Malaysia pernah menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat sekitar era 1980-an dan 1990-an apabila sektor perindustrian berkembang sebelum disusuli pembangunan teknologi maklumat.

Namun, menurutnya, persoalan yang perlu dijawab ketika ini ialah sama ada negara masih mampu menyediakan jaminan ekonomi yang lebih baik kepada generasi akan datang.

Mengulas lanjut, Mohd Omar berkata, Johor menjadi destinasi rakyat dari pelbagai negeri untuk mencari rezeki kerana kedudukannya yang berhampiran Singapura.

Bagaimanapun, katanya, ramai pekerja terpaksa keluar seawal pagi dan pulang lewat malam setiap hari semata-mata untuk bekerja di negara jiran sekali gus mengurangkan masa bersama keluarga.

Beliau berkata, keadaan itu tidak seharusnya menjadi norma dan kerajaan perlu berusaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendapatan yang mampu menarik rakyat terus berkhidmat di negara sendiri.

Dalam pada itu, Mohd Omar turut menegaskan, kestabilan politik dan perpaduan rakyat merupakan asas penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Menurutnya, tanpa perpaduan dan kestabilan, usaha membina ekonomi yang lebih kukuh serta meningkatkan taraf hidup rakyat akan menjadi lebih sukar untuk direalisasikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast