Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persoalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penetapan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu dan bukan Ahad disifatkan sebagai tidak berasas kerana pilihan raya sejak 2022 diadakan pada hari yang sama.

Buktinya, PRN Johor ke-15 diadakan pada 12 Mac 2022, Pilihan Raya Umum ke-15 (19 November 2022), PRN enam negeri (12 Ogos 2023), PRK Kuala Kubu Baharu (11 Mei 2024), PRK Nenggiri (17 Ogos 2024), PRK Mahkota (28 September 2024) dan PRN Sabah (29 November 2025).

Pemerhati politik, Eric See-To atau lebih dikenali sebagai Lim Sian See berkata, hampir semua pilihan raya utama dan pilihan raya kecil (PRK) sejak PRN Johor 2022 diadakan pada hari Sabtu, namun perkara itu tidak pernah dipersoalkan sebelum ini.

“Tak pernah pun PMX mengadu sebelum ini. Jadi apa yang pelik sangat dengan hari Sabtu?” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menegaskan penetapan tarikh pilihan raya bukan dibuat oleh kerajaan negeri atau Barisan Nasional Johor, sebaliknya ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, SPR merupakan badan yang bertanggungjawab menetapkan tarikh pilihan raya mengikut peruntukan undang-undang, manakala aspek pentadbiran dan peruntukan agensi itu berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Kalau PMX tidak berpuas hati dengan tarikh pilihan raya, tanyalah SPR. Jangan pusing cerita seolah-olah BN Johor yang menyusahkan pengundi,” katanya.

Namun, dakwanaya, jika pilihan raya dibuat hari Ahad, nanti DAP mengadu kata tak hormat hari gereja pula.

Dakwa beliau, isu sebenar bukanlah sama ada hari pengundian diadakan pada Sabtu atau hujung bulan, sebaliknya mendakwa kenyataan berkenaan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat dengan menyalahkan pihak lain terhadap keputusan yang dibuat mengikut sistem sedia ada. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast