Mohd Firuz Ibrahim, bapa kepada mangsa tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting, ketika ditemui di Hospital Banting. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JULAI 2026

BANTING – “Kira-kira 14 tikaman dikesan di bahagian belakang badan anak saya”.

Itu luahan rasa terkejut bapa kepada pelajar berusia 15 tahun yang menjadi mangsa tikaman dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting dekat sini hari ini.

Mohd Firuz Ibrahim, 43, yang bekerja sebagai penghantar barang terkejut selepas menerima panggilan berhubung perkara itu daripada guru kelas anaknya sekitar 9.30 pagi sebelum pergi ke Hospital Banting.

“Saya dapat panggilan ketika saya sedang bekerja dan cikgu memaklumkan anak saya ditikam. Saya dalam keadaan terkejut terus bergegas ke sini.

“Bila sampai hospital, anak saya berada dalam keadaan serius sebelum dia dibawa menjalani imbasan bagi mengenal pasti tahap serius kecederaannya,” katanya pada pemberita ketika ditemui di perkarangan Hospital Banting hari ini.

Kawasan luar sekolah menengah dipercayai lokasi kejadian kes tikaman pelajar 15 tahun.. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JULAI 2026.

Tambah Mohd Firuz, keadaan anak kedua daripada tiga beradik itu berada dalam keadaan stabil dan masih boleh bercakap.

“Berdasarkan maklumat doktor, paru-paru kiri dia kena tikaman dan akan menjalani prosedur mengeluarkan darah dari paru-paru tersebut.

“Saya lihat dia dipercayai terkena antara 14 hingga 16 tikaman di bahagian belakang badan selain mengalami kecederaan pada muka, bibir dan telinga,” ujarnya.

Ditanya sama ada anaknya mengenali suspek atau tidak, beliau mengesahkan kedua-duanya saling mengenali kerana mereka pernah belajar dalam kelas yang sama tahun lalu.

“Saya difahamkan mereka satu kelas sebelum ini namun apa status pelajar terbabit saya tidak dapat pastikan selain motif serangan pun saya tidak tahu.

“Saya rasa bukan anak saya yang menjadi sasaran. Mungkin dia nak sasarkan orang lain tapi anak saya yang paling dekat ketika itu dan berbadan besar sedikit mungkin sebab itu dia tak sempat  melarikan diri,” jelasnya.

Mohd Firuz berkata, anaknya tidak pernah mengadu diganggu suspek sebelum ini dan suspek terbabit difahamkan masih pelajar sekolah berkenaan.

“Apa yang saya rasa dengan kejadian hari ini, keselamatan sekolah perlu ditambah baik kerana di bahagian depan sekolah perlu tapis dulu siapa yang masuk. Bila sudah tapis di depan, barulah lebih selamat,” katanya.

Terdahulu mdia dilaporkan, seorang pelajar berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan serta bahu dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tikam pelajar Banting: Suspek ditahan, mangsa kini stabil di Hospital Banting

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast