Hanifah merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Asia-Pasifik (APCPH) Ke-9 Tahun 2026 di Hotel Doubletree, di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan (KKM) kini melakukan penambahbaikan kaedah pencegahan penyakit serta penggunaan teknologi dan data bersepadu sebagai melaksanakan transformasi sistem kesihatan negara.

Timbalan menterinya, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, transformasi itu adalah melalui pemerkasaan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dan peluasan perkhidmatan kesihatan digital.

Jelasnya, ia bagi memastikan akses kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh semua komuniti khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Namun teknologi semata-mata bukan jalan penyelesaian mutlak kepada jurang kesihatan awam, sebaliknya ia hanyalah satu instrumen atau alat bantuan.

“Realiti semasa menunjukkan kemajuan sektor kesihatan belum dinikmati secara saksama khususnya apabila melibatkan komuniti di kawasan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan jauh demi mendapatkan rawatan asas.

“Apabila kita berbicara tentang jurang dalam kesihatan awam, kita sebenarnya berbicara tentang kelangsungan kehidupan manusia yang sebenar. Kedudukan demografik mahupun taraf pendapatan seseorang tidak wajar menjadi penentu kepada tahap kualiti kesihatan mereka.

“Teknologi hanyalah satu alat pemungkin, oleh itu, inovasi mestilah responsif terhadap keperluan komuniti agar jurang (akses perubatan) sedia ada tidak menjadi semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Asia-Pasifik (APCPH) Ke-9 Tahun 2026 di Hotel Doubletree di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Persidangan tiga hari itu menghimpunkan pakar kesihatan awam, penyelidik, dan penggubal dasar dari rantau Asia-Pasifik bagi membincangkan solusi tuntas mendepani beban penyakit tidak berjangkit (NCD), isu kesihatan mental serta fasa populasi menua.

Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, kerajaan komited mentransformasikan sistem penjagaan kesihatan negara melalui pengukuhan penjagaan primer menerusi Sistem Pengurusan Penjagaan Klinik (CCMS) yang mendigitalkan rekod pesakit di klinik kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, cabaran kesihatan awam masa kini adalah terlalu kompleks dan tidak lagi mampu diselesaikan secara bersendirian atau silo oleh satu-satu pihak sahaja.

“Sehubungan itu, semua sektor mengamalkan pendekatan One Health yang merangkumi kerjasama merentas agensi termasuk pendidikan, perumahan, alam sekitar serta sistem pemakanan.

“Kesihatan manusia berkait rapat dengan kesihatan global, gangguan ekosistem dan kemerosotan biodiversiti secara langsung mengancam kualiti udara serta keselamatan sumber air kita.

“Justeru, solidariti serantau amat diperlukan. Apabila kerajaan, penyelidik, profesional kesihatan, dan pihak industri bergabung tenaga, kita mampu mencipta pertahanan serantau yang lebih utuh dalam mendepani sebarang kecemasan kesihatan global pada masa hadapan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast