PASIR GUDANG – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa kenyataan Datuk Onn Hafiz tidak mahu duduk semeja dengan DAP sebenarnya bertujuan meraih undi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, naratif itu dimainkan sedangkan UMNO boleh bekerjasama dengan DAP dalam satu kerajaan seperti di Pahang dan Perak yang merupakan kerajaan campuran.
“Rakyat Johor dipermainkan, kalau bersama DAP, saya (kata Onn Hafiz) tak jadi Menteri Besar pun takpe (selepas PRN Johor).
“Tetapi DAP baik di Pahang dan Menteri Besar Pahang adalah daripada UMNO, jadi Menteri Besar Pahang kerana sokongan DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan PRN Johor di pekarangan Pasaraya Jiason, Masai, di sini malam ini.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loe Siew Fook dan Naib Presiden Amanah, Dr Mohd Hatta Md Ramli.
Mohamad berkata, sekiranya DAP tidak baik sudah tentu sudah menarik sokongan dan Menteri Besar dari Pahang dan Perak akan jatuh.
“Jadi kamu dipermainkan oleh MB Johor. Permainan kerana nak undi Melayu, umur makin meningkat, main-main, macamlah orang Tiong Hua dan rakyat Johor ini tak pandai.
“DAP di Melaka baik, boleh jadi Exco tapi Ketua Menteri daripada UMNO. Ertinya isu kaum kadang-kadang dipermainkan untuk undi dan bukan atas integriti,” katanya.
Beliau yang juga lebih lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dalam PH perkara tersebut tidak menjadi masalah malah DAP meletakkan calon Melayu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan Amanah juga meletakkan calon Cina di DUN Permas.
Sementara itu, Anthony Loke secara sinis berkata, ramai pihak menggunakan DAP untuk diletakkan kesalahan walaupun realitinya tidak begitu.
“Tiap-tiap hari semua salah DAP. Banjir sebab DAP, masuk jel pun sebab DAP. Kalau takde DAP tiada alasan lain. DAP adalah sebuah parti politik dan wakil rakyat kita dapat mandat. Kena belajar hormat mandat rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette
















