SEPANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 54 kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menawarkan perkhidmatan pengangkutan haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil menerusi Ops Khas Ulat KLIA yang dijalankan dari 12 hingga 26 Jun lalu.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 59 kenderaan diperiksa dan 54 daripadanya diambil tindakan serta disita. Daripada jumlah itu, 27 ialah kenderaan persendirian, dua kenderaan milik syarikat, sembilan teksi dan 16 kenderaan e-hailing,” katanya pada sidang media di KLIA hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 75 notis turut dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, termasuk 69 notis kepada warga tempatan dan enam kepada warga asing.
Tindakan itu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 16, Seksyen 22, Seksyen 205 dan Seksyen 243 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Menurutnya, siasatan turut mendapati terdapat warga asing, khususnya dari Bangladesh yang menjalankan kegiatan ‘ulat’ dengan menyasarkan pelancong senegara bagi memudahkan urusan memujuk mereka menggunakan perkhidmatan tidak berlesen.
Beliau berkata, antara kes yang direkodkan ialah seorang pelancong dari China yang pada awalnya bersetuju membayar tambang RM60 dari KLIA Terminal 2 ke Kuala Lumpur namun didakwa dipaksa membayar RM836 sebaik tiba di destinasi.
Aedy Fadly berkata, kegiatan ‘ulat’ di KLIA memberi kesan buruk kepada imej negara apabila pelancong dikenakan caj yang melampau, jauh lebih tinggi berbanding tambang pengangkutan berlesen.
“Tambang teksi berlesen ke Kuala Lumpur sekitar RM65 hingga RM80 namun ada pelancong dikenakan caj sehingga RM500 atau RM800.
“Perkara ini menyebabkan pelancong pulang dengan pengalaman negatif dan mencemarkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Tegas beliau, mana-mana kenderaan yang dipercayai digunakan dalam pelaksanaan kegiatan tersebut akan disita di bawah Seksyen 81 Akta 715 bagi tujuan siasatan dan pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang.
Pihaknya turut menyeru orang ramai khususnya pelancong dan pengguna perkhidmatan di KLIA, supaya hanya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah dan berlesen. – MalaysiaGazette
















