Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan kononnya kerajaan memungkiri janji berhubung pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC.

MOF dalam kenyataan hari ini menjelaskan, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bermula 27 November 2025, kelulusan pengecualian cukai bagi institusi, organisasi atau tabung kebajikan yang layak boleh diberikan sehingga tempoh maksimum 10 tahun di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagaimanapun, katanya, kelulusan tersebut tidak diberikan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian.

“Bagi permohonan Yayasan Pendidikan TARC untuk melanjutkan pengecualian cukai selepas tempoh sedia ada tamat pada 2025, semakan mendapati terdapat beberapa syarat yang masih belum dipenuhi sepenuhnya.

“Antara aspek yang dikenal pasti termasuk pengukuhan tadbir urus dan pengurusan derma yang perlu diperbaiki oleh yayasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Namun, kerajaan mengambil pendekatan berhemah dengan meluluskan lanjutan pengecualian cukai sementara secara interim selama tiga tahun bagi memastikan kesinambungan kedudukan pengecualian cukai yayasan tersebut.

MOF berkata, tempoh lanjutan ini memastikan kedudukan pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC kekal sementara tindakan pematuhan syarat dimuktamadkan.

Tambahnya, MOF sedia membantu memudahcara Yayasan Pendidikan TARC dalam usaha penambahbaikannya.

“Seandainya semua syarat dipenuhi, Yayasan Pendidikan TARC layak untuk mendapat kelulusan pengecualian cukai bagi tempoh penuh 10 tahun selaras dengan pengumuman kerajaan.

“Justeru, isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan. kerajaan kekal komited terhadap sokongan kepada pendidikan, termasuk peranan Yayasan Pendidikan TARC, namun semua kelulusan cukai mesti dibuat mengikut undang-undang, syarat pematuhan dan prinsip tatakelola yang baik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast