JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) takut dengan pengaruh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan mempengaruhi pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRN) Johor.
Naib Presiden MUDA, Leben Siddarth berkata, langkah menghalang penggunaan sebarang bahan kempen yang berkaitan Syed Saddiq adalah tidak wajar.
“Gara-gara takut dengan bayang Syed Saddiq, ada segelintir pemimpin PH dan BN yang lebih rela menyibukkan diri menjadi ‘kaki report’ kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tentang penggunaan gambar beliau dalam bahan kempen berbanding berdebat tentang idea, dasar, dan solusi demi rakyat.
“Biar kami jelaskan sejelas-jelasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen Muar yang sah dan diberi mandat oleh rakyat, ahli MUDA yang masih aktif dan kekal sebagai antara wajah paling ikonik bagi parti ini.
“Tindakan MUDA menampilkan wakil rakyatnya sendiri dalam kempen adalah tidak salah dan tidak melanggar etika kempen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, apa yang dilakukan terhadap Syed Saddiq terutama Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Julai ini untuk menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya, menimbulkan persoalan.
“Apa yang lebih jelik dan menimbulkan persoalan adalah ‘timing’ tindakan ini. Keputusan Mahkamah Persekutuan melibatkan Syed Saddiq telah sengaja ditolak ke tarikh selepas pilihan raya, sekali gus memastikan beliau tidak dapat berkempen secara aktif dalam tempoh kritikal ini.
“Namun, di sebalik sekatan tersebut, PH dan BN nampaknya masih begitu gerun dan ‘goyang’ melihat sekeping gambar beliau sehingga terpaksa menjadikannya isu besar.
“Jika sekeping foto ahli Parlimen MUDA pun sudah cukup untuk membuatkan mereka kecut perut, jelas sekali masalahnya bukan pada poster, tetapi pada hilangnya keyakinan terhadap calon dan modal kempen mereka sendiri,” dakwanya.
MUDA tidak akan sesekali tunduk pada gertakan murahan itu dan Syed Saddiq tetap sebahagian daripada MUDA dan parti itu akan terus berdiri teguh mempertahankannya.
Tegasnya, MUDA menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai sendiri siapa yang benar-benar menawarkan kepimpinan yang jujur, berprinsip, dan berintegriti.
Rakyat ujarnya, berhak mendapat persaingan demokrasi yang sihat berteraskan idea, bukannya siri cubaan terdesak untuk membungkam lawan politik melalui kontroversi murahan yang direka-reka.
Apa yang paling mengecewakan katanya, episod jelek itu berlaku di bawah kerajaan Perpaduan PH-BN sebuah kerajaan yang dahulunya bukan main lantang melaungkan kebebasan demokrasi, persaingan adil, dan reformasi politik.
“Sebaliknya, apa yang kita saksikan hari ini adalah cubaan dangkal untuk mempolitikkan bahan kempen dan mencipta gangguan tidak matang demi mengalih perhatian daripada isu sebenar yang menghimpit rakyat.
“Ini bukan demokrasi matang yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia. Ini adalah bukti nyata betapa rapuh dan ketakutannya kedudukan politik mereka,” tambahnya.
MUDA akan kekal fokus kepada apa yang benar-benar penting iaitu mengetengahkan calon muda yang berwibawa, menyantuni pengundi dengan penuh hormat dan berjuang demi Malaysia yang lebih baik.
“Kami mencabar pihak lawan untuk melakukan perkara yang sama jika mereka berani,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette
















