Keratan laporan media berhubung kejadian pada 1 Julai lalu.

GEORGE TOWN – Polis masih mengesan pemilik tayar yang dipercayai tercicir daripada sebuah lori sehingga mengakibatkan kemalangan maut membabitkan seorang anggota polis di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Bukit Mertajam dekat sini pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, setakat ini, tiada individu tampil bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian itu.

“Tiada sesiapa tampil membantu siasatan. Tiada tangkapan dibuat setakat ini. Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti pemilik tayar lori tersebut,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sarjan polis maut, tiga cedera akibat tayar lori tercicir

Media pada Rabu lalu melaporkan, Sarjan Norshairul Subkri Salim, 40, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar tayar berkenaan.

Siasatan awal pihak polis mendapati sebuah kereta yang dalam perjalanan dari Juru menghala ke Seberang Jaya terlebih dahulu melanggar tayar yang berada di tengah jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.

Mangsa yang datang dari arah sama kemudian melanggar tayar berkenaan menyebabkan dia terjatuh dan terseret di atas permukaan jalan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast