BERTAM – Politeknik Seberang Perai (PSP) meneruskan usaha memperkukuh jalinan dengan komuniti menerusi penyertaan dalam Program Bubur Asyura Komuniti LARA yang berlangsung di Dewan Lakeside, Residensi Limonia Lakeside di sini, semalam.
Program hasil kerjasama Persatuan Penduduk Residensi Limonia Lakeside (LARA), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lakeside dan PSP itu bukan sahaja mengeratkan hubungan institusi pendidikan dengan komuniti setempat, malah menjadi wadah memupuk semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.
Pengarah PSP, Mohd Ruzi Hamzah berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan, sebaliknya menjadi platform terbaik dalam membentuk graduan TVET yang holistik.
Katanya, program itu turut memberi pendedahan kepada pelajar semangat bekerjasama dan keprihatinan terhadap masyarakat, selaras usaha melahirkan graduan TVET yang seimbang daripada aspek kemahiran, ilmu dan sahsiah.
“Melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti, pelajar dapat menghayati nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan dan budaya bekerjasama yang penting dalam melahirkan modal insan berkualiti.
“PSP akan terus memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik dengan komuniti setempat menerusi lebih banyak program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat, di samping membuka peluang kepada pelajar menyumbang kepakaran dan tenaga secara sukarela,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, selaras aspirasi TVET For All dan hasrat Malaysia Madani, PSP komited memperluaskan program khidmat masyarakat bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kemahiran, malah memiliki jiwa prihatin serta semangat kesukarelawanan. – MalaysiaGazette
















