JOHOR BAHRU – Di saat ramai pengusaha restoran berlumba-lumba mengembangkan perniagaan menerusi francais dan cawangan seluruh negara, pemilik Kedai Makanan Jadi Baru Botak, Lee Kiam Hong memilih jalan yang berbeza.
Lebih dikenali dengan gelaran ‘Botak’ berbanding nama sebenarnya, lelaki berusia 57 tahun itu percaya kejayaan sebenar bukan diukur pada berapa banyak cawangan dimiliki sebaliknya sejauh mana pelanggan masih sanggup kembali menikmati hidangan yang rasanya tidak pernah berubah.
Prinsip itulah yang dipegang sejak membuka restoran berkenaan pada 1989 sekali gus menjadikan Kedai Makanan Jadi Baru Botak antara destinasi wajib pencinta asam pedas di Johor Bahru dan seluruh negara.
Kepada MalaysiaGazette, Kiam Hong berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk membina empayar perniagaan walaupun sering menerima cadangan daripada pelanggan supaya membuka lebih banyak cawangan.
Sebaliknya, beliau lebih rela mempertahankan sebuah restoran yang mampu dikawal sepenuhnya berbanding memiliki beberapa cawangan akhirnya gagal mengekalkan standard makanan.
“Ramai suruh saya buka cawangan tetapi saya tak mahu. Saya lebih rela jaga satu kedai daripada buka banyak kedai tetapi akhirnya kualiti berubah.
“Kalau buka banyak cawangan, saya tak boleh pastikan setiap periuk asam pedas itu mempunyai rasa yang sama. Bila kualiti berubah, pelanggan akan tahu dan nama yang kita bina selama ini boleh rosak,” katanya.

Bagi Kiam Hong, pelanggan hari ini semakin bijak dan mampu membezakan sama ada makanan yang dihidangkan menggunakan bahan segar atau sebaliknya.
Disebabkan itu, beliau lebih gemar mendapatkan bekalan bahan mentah mengikut keperluan harian berbanding menyimpan stok dalam kuantiti yang banyak.
“Kalau ikan tak segar, orang tahu. Sotong dan udang pun sama. Saya mahu pelanggan rasa ikan itu seperti ikan, udang itu seperti udang.
“Sebab itu saya tak suka simpan stok terlalu lama. Kesegaran bahan adalah perkara paling penting,” ujarnya.
Keutamaan terhadap kualiti itu juga menyebabkan harga makanan di restorannya sentiasa berubah mengikut harga pasaran.
Menurut Kiam Hong, beliau tidak pernah keberatan menurunkan harga apabila kos bahan mentah menurun dan hanya menaikkan harga apabila keadaan benar-benar memerlukan.
“Kalau harga ikan turun, saya turunkan harga. Bila harga naik, saya terpaksa naikkan juga sebab kita beli ikut harga pasaran. Itu sahaja caranya untuk pastikan perniagaan terus bertahan,” katanya lagi.
Walaupun terkenal dengan hidangan asam pedas, restoran itu turut menawarkan pelbagai pilihan lauk seperti ikan goreng, sotong, udang, lala dan otak-otak yang sering menjadi pilihan pelanggan.

Kiam Hong berkata, lala merupakan antara menu sampingan yang paling mendapat sambutan dan hampir menjadi hidangan wajib di setiap meja pelanggan.
“Lala memang hampir wajib ada di setiap meja. Tak kira Melayu, Cina atau India, semua suka makan bersama asam pedas,” jelas beliau lagi.
Kiam Hong berkata, sambutan terhadap restorannya tidak pernah bergantung kepada musim tertentu termasuk ketika pilihan raya.
Katanya, pelanggan tetap datang seperti biasa dan beliau tidak pernah membezakan layanan sama ada kepada orang kenamaan mahupun pelanggan biasa.
“Pilihan raya atau tidak, orang tetap datang makan. Saya tak tengok dia orang politik, VIP atau orang biasa. Siapa yang masuk ke kedai ini, semuanya pelanggan saya dan saya layan sama rata,” ujarnya.

Sepanjang hampir empat dekad mengusahakan restoran itu, pelbagai tokoh pernah menikmati hidangannya termasuk kerabat diraja Johor, menteri besar serta pemimpin daripada pelbagai parti politik.
Namun bagi Kiam Hong, penghargaan terbesar bukanlah gambar bersama tetamu kenamaan yang menghiasi dinding restoran.
Sebaliknya, beliau lebih tersentuh apabila ada pelanggan yang baru pulang dari luar negara memilih untuk singgah menikmati asam pedas di restorannya sebelum pulang ke rumah.
“Itu yang buat saya rasa puas. Orang masih ingat rasa makanan di sini walaupun sudah lama berada di luar negara,” katanya.
Di sebalik nama Asam Pedas Botak yang cukup sinonim di Johor Bahru, ramai tidak mengetahui gelaran itu akhirnya dipilih sebagai identiti restoran kerana keunikannya dan mudah diingati pelanggan.
Menurut Kiam Hong, beliau mahu orang ramai mengingati nama restoran itu dengan mudah.
“Saya fikir satu Malaysia ini cuma ada satu Asam Pedas Botak. Orang dengar nama itu, terus tahu kedai mana yang mereka nak cari,” katanya.

Sebelum bergelar pengusaha restoran, Kiam Hong pernah mencari rezeki sebagai nelayan di sebuah kelong iaitu rumah atau pelantar menangkap ikan yang dibina di atas tiang di laut dan menjadi tempat nelayan memperoleh hasil laut segar setiap hari.
Pengalaman bertahun-tahun di kelong bukan sahaja mengajarnya mengenali pelbagai jenis hasil laut malah membentuk ketelitiannya dalam memilih ikan, udang dan sotong yang benar-benar segar.
Bagi Kiam Hong, pengalaman itu menjadi asas kepada falsafah perniagaannya sehingga hari ini kerana beliau percaya rasa yang baik bermula daripada bahan mentah yang berkualiti bukan semata-mata resipi.
Kini, dengan bantuan kira-kira 10 pekerja, restoran itu beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 3.30 petang sebelum dibuka semula dari pukul 5 petang sehingga pesanan terakhir pada 7.30 malam.
Waktu paling sibuk ialah antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang apabila pelanggan memenuhi ruang restoran untuk menikmati hidangan makan tengah hari.
Walaupun namanya semakin dikenali dan sering dicadangkan membuka lebih banyak cawangan, Kiam Hong tetap berpegang pada prinsip yang sama seperti 37 tahun lalu.
Malah nasihat yang sama turut disampaikan kepada anak-anaknya.
“Jangan fikir nak buka banyak kedai. Jaga satu kedai ini betul-betul. Kalau kualiti sentiasa terjaga, pelanggan akan datang sendiri. Itu lebih penting daripada mengejar banyak cawangan,” katanya.

Selepas 37 tahun, Kedai Makanan Jadi Baru Botak bukan sekadar sebuah restoran terkenal dengan hidangan asam pedasnya. Lebih daripada itu, ia menjadi bukti dalam dunia perniagaan yang sentiasa mengejar perkembangan dan keuntungan, masih ada usahawan yang percaya kejayaan sebenar terletak pada kemampuan mempertahankan kepercayaan pelanggan.
Bagi Kiam Hong, selagi setiap pelanggan masih dapat menikmati rasa yang sama seperti lebih tiga dekad lalu, selagi itulah legasi Asam Pedas Botak akan terus hidup di alamat yang sama di Johor Bahru. – MalaysiaGazette
















