COLOMBO – Sekurang-kurangnya 19 orang, termasuk empat pengawal penjara terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera dalam rusuhan di sebuah penjara di Sri Lanka, insiden terburuk melibatkan penjara di negara itu dalam tempoh lebih lima tahun.
Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Negombo, di utara ibu negara Colombo, selepas tercetus pertempuran semalaman antara banduan daripada dua kumpulan pengedaran dadah.
Pengarah Hospital Negombo, Pushpa Gamlath berkata, sebanyak 19 mayat dibawa ke hospital kerajaan itu, selain lebih 100 banduan dan pengawal yang cedera turut menerima rawatan.
“Terdapat beberapa mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan,” katanya kepada AFP melalui panggilan telefon.
Rusuhan bermula pada petang Ahad di Penjara Negombo yang menempatkan hampir 10,000 banduan.
Pihak polis memaklumkan, pasukan komando telah dipanggil bagi mengawal keadaan, namun mereka tidak dikerahkan memasuki kawasan penjara.
Pada masa sama, orang ramai yang merupakan ahli keluarga banduan berkumpul di luar penjara bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Penduduk sekitar turut memaklumkan mereka mendengar bunyi tembakan, manakala pihak berkuasa menggunakan dron untuk memantau keadaan di dalam penjara.
“Empat pengawal terbunuh ketika cuba meleraikan rusuhan. Keadaan menjadi tidak terkawal pada pagi ini,” kata seorang pegawai polis. – Agensi
















