Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan berkaitan Program Janawibawa ketika berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.

Tengku Zafrul, 53, berkata, sepanjang memegang jawatan itu di antara Mac 2020 dan Ogos 2021 di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, hubungan dengan Ahli Parlimen Pagoh itu baik meskipun mereka tiada hubungan kekeluargaan.

“Saya tidak mempunyai apa-apa motif jahat terhadap beliau atau mana-mana pihak dalam memberi keterangan di mahkamah. Hubungan saya dengan beliau baik hingga kini,” ujarnya.

Tengku Zafrul menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi sewaktu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan kes Janawibawa.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.

Saksi pendakwaan ke-11 itu selanjutnya menyatakan, beliau mengetahui program berkenaan diwujudkan bagi merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera serta merancakkan sektor pembinaan negara.

Menurut Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri itu, sekitar suku kedua 2020, terdapat perbincangan bersama Muhyiddin berkenaan usaha merangka suatu program untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera dan merancakkan sektor pembinaan negara ketika pandemik Covid-19.

Ujarnya, Muhyiddin telah meminta Kementerian Kewangan memikirkan kaedah dan prosedur yang sesuai bagi membantu kemelut kontraktor Bumiputera ketika krisis tersebut.

Menurut Tengku Zafrul, susulan itu, Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan bersama pengurusan tertinggi telah merangka dan mencadangkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Janawibawa) sebagai suatu landasan ke arah mencapai objektif yang dicadangkan Muhyiddin.

“Dalam hal ini, syarat yang lebih ketat dikenakan terhadap syarikat kontraktor yang menyertai Program Janawibawa.

“Antaranya, program ini dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera yang melepasi penilaian SCORE oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan penarafan tiga hingga lima bintang sahaja,” ujarnya.

Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast