MUAR – Kalah dengan hanya 710 moriti undi kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahrudin Jamal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 15 tidak pernah mematahkan semangat calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Syarie Yusof.
Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Gombang itu mahu pertembungan sekali lagi dengan Dr Sahruddin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong akan membuahkan hasil pada kali ini.
“Kelebihan majoriti 710 dimiliki penyandang kerusi DUN Bukit Kepong dalam PRN Johor ke-15 pada Mac 2022 bukan mustahil untuk diatasi dengan kerja keras dilakukan mungkin boleh diatasi dengan lebih banyak majoriti lagi,” katanya ketika ditemui.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Syarie mengakui amat mencabar kerana lawannya merupakan bekas Menteri Besar Johor pada 2019 hingga 2020.
Namun, katanya, gerak kerja yang dilakukan sejak awal 2024 selain pelbagai inisiatif daripada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat sudah berlaku beberapa tanda perubahan sokongan kepada BN.
Katanya, ia diperkuatkan lagi dengan pertembungan tiga penjuru dalam PRN Johor ke-16 berbanding empat penjuru pada PRN Johor ke-15 yang menyaksikan pecahan undi.
Beliau tidak melihat kepada faktor calon dan pengabaian kawasan DUN sebelum ini akibat daripada pelbagai kelemahan selain ketidakstabilan pihak lawan sejak akhir-akhir ini sebagai satu kelebihan.
“Kali ini BN hadir dengan semangat kestabilan terutama di peringkat negeri dan Insya-Allah aspirasinya serta aura kepimpinan Menteri Besar kita akan pastikan Bukit Kepong dirampas semula selepas terlepas tsunami rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
“Berbaki beberapa hari termasuk hari ini untuk berkempen, saya akan berusaha menemui seberapa banyak rakyat di Bukit Kepong ini untuk meyakinkan mereka agar memberikan sokongan kepada BN pada 11 Julai ini,” katanya.
Pengerusi Jawatan Kuasa Penyelesaian Khas DUN Bukit Kepung itu berkata, pihaknya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk diberikan kepada rakyat tetapi lebih realistik dan boleh dilakukan dalam tempoh penggal ini.
“Untuk itu, saya berharap mereka berfikir dan membuat penilaian sebaiknya sebelum membuat pilihan di kertas undi kerana setiap keputusan diberikan akan membawa nasib kehidupan kita serta pewaris pada masa akan datang,” katanya.
Selain Ahmad Syarie dan Dr Sahruddin (Perikatan Nasional) turut bertanding merebut kerusi DUN Bukit Kepong adalah C. Subramani (Pakatan Harapan). – MalaysiaGazette
















