Sheikh Umar Bagharib Ali

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi didakwa tidak faham konsep Budi95 yang diperkenalkan apabila mendesak kerajaan Persekutuan memansuhkan kuota bulanan dengan alasan ia membebankan rakyat.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali kesal dengan dakwaan itu yang melihatkan Onn Hafiz semakin ghairah menyerang dasar-dasar Kerajaan Madani sehingga sanggup mengulangi naratif yang tidak menggambarkan keseluruhan fakta.

“Budi95 dilaksanakan pada September 2025 selepas Kerajaan Madani meneliti pelbagai pilihan. Ketika itu, ramai pakar ekonomi, termasuk Bank Dunia mencadangkan supaya subsidi bahan api diapungkan mengikut harga pasaran.

“Namun Kerajaan Madani memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih bertanggungjawab, mengekalkan perlindungan kepada rakyat melalui subsidi bersasar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, apabila krisis Asia Barat menyebabkan harga minyak dunia melonjak dan rantaian bekalan global terganggu, rakyat Malaysia tidak menanggung sepenuhnya kenaikan tersebut.

Jelasnya, jika tiada mekanisme seperti Budi95, rakyat pasti berdepan kenaikan harga petrol yang jauh lebih tinggi.

“Inilah hakikat yang perlu dijelaskan kepada rakyat, bukannya disembunyikan demi meraih laba politik. Yang lebih menghairankan, parti beliau mempunyai tujuh orang menteri dalam Kabinet Persekutuan. Bahkan mereka bukan pemimpin biasa. Ada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

“Adakah Onn anggap menteri-menteri UMNO itu semuanya bodoh? Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Azalina Othman Said dan lain-lain,” ujarnya.

Katanya, jika benar ada kelemahan dalam pelaksanaan perkara itu boleh dibawa berbincang bukan menjadikannya bahan serangan terbuka seolah-olah mereka sendiri bukan sebahagian daripada kerajaan.

“Tapi saya diberitahu mesyuarat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri pun, Onn Hafiz kerap tidak hadir. Mungkin itu sebab beliau kurang jelas banyak perkara,” katanya.

Tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Kerajaan Madani tak pernah mendakwa semua dasar yang dilaksanakan sempurna.

Sebab itu, katanya, kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat, menilai pelaksanaan dan melakukan penambahbaikan apabila perlu.

Matlamatnya tetap sama iaitu memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak, membanteras ketirisan dan pada masa sama melindungi kebajikan rakyat ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi.

“Apa yang pelik, apabila penyasaran subsidi diesel bermula pada tahun 2024 dan mekanisme Budi95 diperkenalkan pada tahun 2025, suara bantahan Onn seperti ini tidak pula kedengaran.

“Johor memerlukan kepimpinan yang menawarkan penyelesaian, bukannya sekadar mengulangi retorik yang biasa dimainkan cybertrooper,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast