JOHOR BAHRU – Perasaan bangga dan teruja Inspektor Ramona Roslan apabila berpeluang menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Beliau yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengundi di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Walaupun berjauhan dengan keluarga, beliau tetap bersemangat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dan penjawat pasukan keselamatan.
“Peluang mengundi awal ini amat bermakna kerana membuktikan setiap anggota polis tetap diberi ruang untuk menunaikan hak sebagai warganegara walaupun sedang memikul amanah menjaga keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang pilihan raya berlangsung.
“Proses pengundian berlangsung dengan lancar, teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali gus memudahkan anggota yang layak mengundi menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui selepas mengundi awal.
Katanya, walaupun berkhidmat jauh dari negeri asal, semangat cintakan negara dan komitmen terhadap sistem demokrasi tetap menjadi keutamaan setiap warga PDRM demi memastikan pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, selamat dan harmoni.- MalaysiaGazette
















