KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan dikenali sebagai Qaseh Atika Mohd Naim Abdullah dilaporkan hilang di Ukay Perdana, Ampang sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berusia 17 tahun itu daripada bapanya.
“Pengadu memberitahu, anak perempuannya tiada di rumah sekitar jam 8 malam dan turut dimaklumkan pihak sekolah bahawa remaja terbabit tidak hadir ke sekolah pada Isnin.
“Pengadu juga tidak pasti punca anaknya keluar dari rumah dan memaklumkan tiada sebarang perselisihan faham berlaku sebelum kehilangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Khairul Anuar, remaja berkenaan mempunyai ketinggian kira-kira 157 sentimeter, berat sekitar 45 kilogram, berbadan kurus dan berkulit sawo matang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai lokasi atau keberadaan remaja terbabit diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Boleh juga menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd Anuar di talian 017-3422804 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















