BATU PAHAT – Dakwaan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) gagal menaikkan elaun imam, bilal dan guru-guru agama antara contoh fitnah media sosial didakwa dimainkan Pakatan Harapan (PH) amat dikesali.
Ia dikhuatiri mempengaruhi pengundi muda sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
Menurut beliau, ia menguatkan lagi kebimbangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam mengenai kemungkinan sebahagian pengundi muda terpengaruh dengan hasutan dan maklumat tidak tepat.
“Perkara-perkara seperti ini yang dibangkitkan oleh PH sedangkan kalau awak parti yang baik, ceritalah perkara yang baik sahaja.
“Saya sahkan kalau isu kononnya kerajaan tidak menaikkan elaun imam dan bilal itu adalah fitnah yang Pakatan Harapan buat kerana mereka tidak merujuk saya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau yang juga calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah berkata demikian selepas merasmikan Forum Hal Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1448H di Masjid Seri Sulong, Taman Seri Sulong di sini hari ini.
Semalam, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menyifatkan pengundi muda berusia antara 18 hingga 25 tahun sebagai kelompok paling kritikal dalam PRN Johor kerana mudah terpengaruh dengan naratif politik yang disebarkan PH menerusi media sosial.
Tindakan itu sekali gus dibimbangi mengulangi episod kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri bukan sahaja telah menaikkan elaun imam dan bilal sebanyak 100 peratus malah turut menaikkan elaun guru al-Quran dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“Bukan sahaja elaun imam dan bilal sudah naik 100 peratus, elaun guru al-Quran dan guru KAFA pun naik tetapi ada kawan sebelah (PH) kata kita tidak naikkan.
“Ini fitnah dan macam mana kalau ada anak muda yang terhasut?Boleh semak dengan imam, bilal, noja, guru al-Quran dan guru KAFA yang merupakan penjawat awam kerajaan Persekutuan di bawah JAKIM pun elaun mereka semua kita telah naikkan,” tegasnya.
Beliau berkata, kebimbangan Menteri Besar terhadap kemungkinan golongan muda terpengaruh dengan maklumat tidak tepat adalah wajar namun yakin kumpulan itu mampu membuat penilaian yang rasional.
“Sebab itu saya kata kebimbangan Menteri Besar adalah wajar. Kita harap dan kita yakin orang muda ini merupakan kumpulan yang terpelajar serta mampu menilai sendiri maklumat yang diterima,” katanya. – MalaysiaGazette
















