Foto FB Ahmad Amzad Hashim.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengalami masalah kesihatan ketika berada di Parlimen pada pagi ini bagi mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT).

Pejabat Ahli Parlimen itu memberitahu, Ahmad Amzad turut dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.

“Ketika berada di Parlimen, YB Datuk mengalami pening dan hampir pitam. Beliau kemudiannya dibawa ke Klinik Parlimen untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal.

“Hasil pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pegawai perubatan di Klinik Parlimen, YB Datuk telah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan lanjut.

“YB Datuk kemudiannya dibawa ke IJN dengan ambulans dan kini telah dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan serta rawatan lanjut oleh pihak IJN,” kata Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut memaklumkan beberapa urusan rasmi, pertemuan dan program yang telah dijadualkan melibatkan Ahmad Amzad pada minggu ini terpaksa ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan amat menghargai kefahaman semua pihak.

“Kami juga memohon doa daripada semua agar YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim diberikan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan rawatan serta dikurniakan kesihatan yang baik.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast