Video tular di platform TikTok melalui akaun Irfan Zaky@silento_91 yang mengandungi dakwaan palsu perselisihan melibatkan orang awam dan petugas kaunter JPJ.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ingin membuat penafian berhubung satu video yang telah tular di platform TikTok melalui akaun Irfan Zaky@silento_91 yang mengandungi dakwaan palsu perselisihan melibatkan orang awam dan petugas kaunter jabatan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan, video berkenaan adalah palsu dan merupakan kandungan yang dipercayai telah dijana menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menghasilkan gambaran seolah-olah ia insiden yang berlaku di JPJ.

“Kandungan tersebut telah mencetuskan kekeliruan, provokasi serta mencemarkan imej dan reputasi jabatan.

“Hasil semakan awal mendapati video tersebut telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan elemen yang menyerupai identiti rasmi kerajaan, termasuk susun atur pejabat, paparan visual serta penggunaan nama dan logo JPJ,” katanya yang memandang serius penyebaran kandungan palsu tersebut.

Susulan itu, JPJ telah membuat laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang kandungan yang belum disahkan kesahihannya, serta membuat semakan hanya melalui saluran komunikasi rasmi JPJ bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat palsu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast