Dari kiri Wern Yiing, Tee Boon Tsong, Andrew Chen Kah Eng, Nor Zulaila Abd Ghani dan Kartiyaini selepas sidang akhbar di Taman Molek, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Lima calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kesal dengan kenyataan Menteri Besar Johor yang mempertikaikan beberapa dasar Kerajaan Persekutuan.

Menurut lima calon (PH) tersebut, contohnya pelaksanaan e-Invois, caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing serta kewajipan pendaftaran majikan dengan Kementerian Sumber Manusia.

“Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak seharusnya melupakan bahawa kerajaan hari ini ialah kerajaan perpaduan. Barisan Nasional (BN) dan UMNO merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, dengan lapan menteri UMNO menganggotai Jemaah Menteri.

“Setiap dasar kerajaan diputuskan secara kolektif di peringkat Kabinet, termasuk dengan persetujuan wakil-wakil UMNO,” ujar mereka dalam sidang akhbar bersama-sama di Taman Molek di sini hari ini.

Lima calon PH tersebut iaitu Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Alan Tee Boon Tsong (Perling), Kartiyaini Jeyapalan (Skudai), Nor Zulaila Abd Ghani (Tiram) dan Lee Wern Yiing (Johor Jaya).

Mereka berkata, sekiranya Onn Hafiz mempunyai pandangan yang berbeza terhadap mana-mana dasar tersebut, saluran yang sewajarnya ialah melalui kepimpinan parti dan menteri-menteri UMNO dalam Kabinet.

Malah katanya, pemimpin-pemimpin UMNO sendiri pernah mengakui bahawa parti itu berjaya mempengaruhi keputusan Kerajaan Persekutuan dalam isu Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA).

“Ini membuktikan bahawa UMNO mempunyai ruang dan pengaruh untuk mengubah atau menangguhkan sesuatu dasar sekiranya benar-benar mempunyai pendirian yang tegas,” ujar mereka.

Justeru katanya, mengapa pendekatan yang sama tidak digunakan bagi isu e-Invois, caruman dua peratus KWSP pekerja asing dan pendaftaran majikan.

“Mengapa hanya apabila pilihan raya menjelang, dasar-dasar yang telah dipersetujui bersama-sama dijadikan modal politik sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah UMNO tidak terlibat dalam membuat keputusan,” soalnya.

PH katanya, mengakui setiap dasar baharu memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Kerajaan Persekutuan, katanya, sentiasa terbuka menerima pandangan dan maklum balas daripada pemain industri bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan dan mesra perniagaan.

Namun, adalah tidak bertanggungjawab untuk menggambarkan dasar-dasar tersebut semata-mata sebagai beban tanpa menjelaskan rasional, objektif dan manfaat jangka panjangnya kepada negara, katanya.

Pendekatan sedemikian katanya, bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah memberi gambaran seolah-olah parti beliau sendiri tidak mempunyai tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan.

PH katanya, menyeru Onn Hafiz agar bersikap konsisten serta menghormati prinsip tanggungjawab bersama yang menjadi asas Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat berhak menerima penjelasan yang jujur dan bertanggungjawab, bukannya kenyataan yang cuba menjauhkan diri daripada keputusan yang turut dipersetujui oleh parti beliau sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast