Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali ketika sidang media selepas Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang menunggu pengesahan empat pasukan pertunjukan aerobatik bertaraf dunia untuk menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27), April tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata, keempat-empatnya adalah Black Eagles dari Republik Korea, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu, Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia dan Russian Knights dari Persekutuan Rusia.

“Penyertaan mereka bagaimanapun tertakluk kepada pengesahan akhir serta perkembangan situasi geopolitik semasa,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran LIMA’27 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pelancaran tersebut menandakan permulaan satu lagi perjalanan penting bagi Malaysia apabila ia secara rasmi memulakan persiapan untuk edisi ke-18 pameran paling berprestij di rantau Asia Pasifik.

Dalam ucapannya, Mohammed Khaled berkata, LIMA bukan sekadar sebuah pameran sebaliknya merupakan platform yang mempertemukan kerajaan dengan kerajaan, industri dengan industri, teknologi menjadi kerjasama dan idea diterjemahkan kepada peluang.

Menurut beliau, LIMA’27 yang akan diadakan antara 20 hingga 24 April tahun depan menyasarkan penyertaan sekitar 930 syarikat pempamer dari 36 negara, meningkat 15 peratus berbanding acara terdahulu.

Ujarnya, program dwitahunan berprestij itu dijangka menerima kehadiran 60,000 pelawat perdagangan dan 400,000 pengunjung awam serta 450 delegasi antarabangsa mewakili 65 negara.

Kata Mohammed Khaled, ia juga dijangka membabitkan 110 aset udara dan 90 aset maritim.

“Sambutan daripada peserta tempatan dan antarabangsa sejak pelancaran awal LIMA’27 sempena DSA 2026 amat menggalakkan.

“Dalam tempoh dua bulan sahaja, kira-kira 40 peratus ruang pameran sudah ditempah oleh peserta dalam dan luar negara.

“Pencapaian awal ini mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia serta mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai platform pilihan bagi diplomasi pertahanan, kerjasama teknologi dan jaringan perniagaan strategik di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, LIMA kini bukan lagi sekadar sebuah pameran kerana ia berkembang pesat menjadi platform strategik yang memperkukuh diplomasi pertahanan antarabangsa.

Katanya, selain itu ia mempercepat inovasi teknologi, menggalakkan kerjasama industri serta mewujudkan peluang ekonomi yang signifikan kepada negara ini dan rakan antarabangsa.

LIMA’27 menampilkan tema Menerajui Visi Lestari Merentasi Laut, Udara dan Angkasa yang mencerminkan aspirasi memastikan pembangunan pertahanan dan keselamatan masa hadapan bukan sahaja berteraskan teknologi canggih, malah mampan, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Mohamed Khaled berkata, menjelang April 2027, beliau menjemput kerajaan, organisasi pertahanan, peneraju industri, serta pelabur dari seluruh dunia untuk bersama-sama di Langkawi dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, memacu inovasi serta membentuk masa depan yang lebih selamat dan makmur.

Ujarnya, kejayaan cemerlang LIMA’25 telah mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai tuan rumah yang diyakini bagi salah satu pameran pertahanan, maritim dan aeroangkasa terkemuka dunia.

Dalam ucapannya, Mohammed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada Global Exhibitions & Conferences Sdn. Bhd. (GEC) yang sekali lagi bertindak sebagai penganjur bersama LIMA’27.

Malek Razak turut berkata, penganjuran LIMA’27 selaras dengan Dasar Pertahanan Negara, Dasar Industri Pertahanan Negara dan Pelan Strategik Pertahanan Negara.

“LIMA adalah platform strategik yang dirangka oleh kementerian dan ATM ke arah membina angkatan masa hadapan yang memasuki fasa pembangunannya bermula tahun ini hingga 2030,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media, Lokman Hakim berkata, LIMA’27 akan memberi peluang kepada orang ramai melihat beberapa aset baharu yang diperoleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, ia akan membabitkan pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) dari Korea Selatan, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA-S Medium Altitude Long Endurance (MALE) serta Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan dipamerkan kepada orang ramai buat kali pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast