JOHOR BAHRU – Koperal Mohd Ilham Hakim Romli, 36, yang yang patah tangan tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi pada hari pengundian awal hari ini.
Mohd Ilham tiba di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi di sini pada pukul 8.20 pagi dalam keadaan tangan kanannya memakai balutan anduh.
“Saya bersemangat hadir ke pusat mengundi di sini dari rumah di Taman Impian Jaya, Senai untuk mengundi sebelum mengadakan pemeriksaan lanjut keadaan tangan saya di hospital.
“Hari ini saya dijadualkan untuk janji temu bersama-sama doktor pakar bahagian ortopedik untuk melihat keadaan sama ada perlu memasang plat besi di bahagian tulang bahu yang sedikit terkeluar.
“Jadi, saya minta adik saya untuk hantar ke sini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Bagi saya, selagi boleh berjalan, saya akan usaha untuk keluar mengundi,” katanya kepada pemberita.
Mohd Ilham mengalami patah tangan ketika bertugas apabila membuat rondaan dengan menaiki motosikal di Bangunan Sultan Iskandar di sini minggu lalu.
Dia yang sudah lebih 16 tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyeru rakyat negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas untuk keluar mengundi.
“Walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya tetap kuatkan semangat untuk mengundi kerana saya tahu setiap undi itu amat berharga.
“Jadi, bukan alasan bagi mereka yang sihat tubuh badan untuk tidak melakukan perkara sama,” katanya yang masih dalam tempoh cuti sakit. – MalaysiaGazette
















