Calon Pakatan Harapan (PH) N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.

JOHOR BAHRU – Pendirian Barisan Nasional (BN) yang tidak berhasrat untuk membentuk kerajaan campuran sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai tidak selari dengan realiti politik semasa.

Calon Pakatan Harapan (PH) N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menegaskan, ia bercanggah dengan situasi di peringkat Persekutuan demi memastikan kestabilan pentadbiran negara.

“Keutamaan mana-mana kerajaan sepatutnya adalah memastikan kebajikan rakyat, mengukuhkan ekonomi serta menjamin kestabilan politik bukannya membuat kenyataan boleh menutup ruang kerjasama pada masa depan.

“Kita harus bekerjasama erat dan sentiasa memikirkan soal kebajikan rakyat, keperluan rakyat serta ekonomi bagi mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran negeri dan negara.

“Saya rasa kenyataan itu tidak selari dengan apa yang berlaku di pusat sekarang,” katanya ketika ditemui pada kempen PRN Johor hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan bagi menyaksikan sendiri proses pengundian awal PRN di Pusat Mengundi di Balai Polis Kempas kira-kira jam 8.35 pagi tadi.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gabungan itu tidak bercadang membentuk kerajaan campuran di Johor sekiranya berjaya memperoleh majoriti mencukupi dalam PRN Johor, 11 Julai ini.

Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan campuran hanya menjadi pilihan sekiranya tiada mana-mana parti berjaya memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk mentadbir negeri.

Faezuddin juga menyifatkan kenyataan itu sebagai angkuh kerana pengalaman politik sebelum ini membuktikan mana-mana gabungan akhirnya tetap perlu berbincang dengan pihak lain sekiranya gagal memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Dulu ketika mereka kuat, mereka kata tidak mahu bekerjasama dan tidak mahu duduk semeja dengan pihak tertentu tetapi apabila memerlukan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan, akhirnya mereka juga mencari rakan kerjasama.

“Sebab itu saya berpandangan kenyataan seperti ini perlu dibuat secara lebih sederhana kerana akhirnya keadaan politik boleh berubah dan keputusan awal itu mungkin memakan diri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast