Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Taman Daya, Tebrau. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Pengundi muda kini lebih cenderung menilai idea, dasar serta kemampuan calon sebelum membuat keputusan di peti undi dan tidak lagi mudah dipengaruhi dengan retorik politik.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, perubahan itu jelas dapat dilihat sepanjang tempoh berkempen apabila golongan muda lebih gemar menyertai sesi dialog dan mengemukakan pelbagai soalan berbanding hanya mendengar ceramah politik.

“Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi. Mereka mempunyai pola pemikiran dan pilihan sendiri. Mereka mahu mendengar idea, bertanya soalan dan membuat penilaian sebelum memilih.

“Politik hari ini perlu bergerak ke arah pertembungan idea, bukannya sekadar ceramah satu hala. Itulah yang sebenarnya diharapkan oleh generasi muda,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Dato Onn, di sini, hari ini.

Menurut bekas menteri pendidikan itu, pengalaman beliau berdialog dengan kira-kira 40 anak muda sebelum ini membuktikan golongan berkenaan semakin kritikal dalam menilai pemimpin dan dasar yang ditawarkan.

Katanya, soalan-soalan yang dikemukakan dalam sesi berkenaan juga menunjukkan pengundi muda mahu melihat keupayaan seseorang calon berhujah serta memberikan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.

“Mereka mahu pemimpin menjawab soalan, mempertahankan idea dan memberi penjelasan. Mereka menghargai keupayaan berfikir, bukannya sekadar mendengar ucapan politik.

“Di banyak negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Korea Selatan dan Indonesia, budaya politik seperti ini semakin berkembang dan saya percaya Malaysia juga sedang bergerak ke arah itu,” katanya lagi.

Mengulas program dialog yang dijadual berlangsung malam ini, Maszlee berkata,  beliau tetap bersedia untuk menyertainya kerana percaya pendekatan berkenaan mampu menyuburkan budaya politik yang lebih matang.

Menurutnya, program yang pada asalnya dirancang dalam format debat telah ditukar kepada dialog selepas Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi tidak dapat menyertainya.

“Walau apa juga formatnya, saya tetap hadir kerana rakyat berhak mendengar pandangan dan idea daripada semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast