Calon Muda Dun Puteri Wangsa, Rashifa bergegas ke Kampung Paya Kenangan ketika hujan lebat semalam.

JOHOR BAHRU – Calon MUDA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied bimbang penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Tebrau di sini berdepan ancaman banjir susulan projek tebatan yang didakwa masih belum selesai walaupun dijadualkan siap pada Julai ini.

Beliau berkata, situasi itu menjadi lebih membimbangkan apabila fenomena air pasang berlaku serentak dengan hujan lebat, berpotensi menyebabkan air melimpah ke kawasan penempatan berhampiran sungai.

Katanya, beliau bergegas ke Kampung Paya Kenangan selepas dimaklumkan mengenai paras air pasang yang mencecah 2.9 meter ketika sedang berkempen di Puteri Wangsa.

“Paras kritikal ialah tiga meter ke atas, tetapi bacaan 2.9 meter pun sudah cukup membimbangkan.

“Apabila hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang, ia boleh menjadi resipi kepada kejadian banjir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Rashifa, beliau kemudian meninjau sendiri keadaan di Sungai Tebrau selain bertemu penduduk bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, hasil tinjauannya mendapati Projek Saliran Mesra Alam Tebrau dan Plentong yang melibatkan kerja-kerja tebatan banjir di kawasan Sungai Tebrau masih belum disiapkan sepenuhnya.

“Saya difahamkan projek ini sepatutnya siap pada Julai, namun apabila saya turun ke lokasi, kerja-kerja itu masih belum selesai.

“Air pasang masih tinggi dan jika hujan lebat berterusan selama beberapa jam, air boleh melimpah ke kawasan penempatan berhampiran Sungai Tebrau yang berada di kawasan lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan di Sungai Tebrau turut dipengaruhi aliran air dari kawasan hulu termasuk Sekudai dan Senai, justeru pemantauan perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada cuaca di Puteri Wangsa.

“Kalau hujan lebat di Sekudai dan Senai, kesannya akhirnya akan sampai ke Sungai Tebrau.

“Sebab itu kita bukan sekadar perlu melihat hujan di Puteri Wangsa, tetapi juga keadaan di kawasan hulu dan paras air pasang supaya tindakan awal boleh diambil sebelum berlaku banjir,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Rashifa berharap pihak berkaitan dapat segera menyiapkan projek berkenaan selain meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan penduduk terus terpelihara.

Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang melaksanakan Projek Saliran Mesra Alam Tebrau dan Plentong bernilai RM41.8 juta sebagai langkah mitigasi banjir di Johor Bahru.

Projek itu memberi tumpuan kepada kerja-kerja tebatan di beberapa kawasan berisiko tinggi termasuk Kampung Ubi, Kampung Kangkar Tebrau dan Kampung Bunga Ros bagi mengurangkan risiko banjir kilat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast