KUALA LUMPUR – Seorang kelindan lori yang tular di media sosial kerana menceroboh masuk sebuah rumah di Taman Tun Teja, Rawang, Selangor, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, lelaki tempatan berusia 22 tahun itu di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, kira-kira jam 10 pagi tadi.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu katanya, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berumur 29 tahun merupakan suri rumah sekitar jam 7.49 petang, semalam dan telah mengesan video tular itu di media sosial.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku jam 5.15 petang hari sama disalah sebuah rumah di kawasan berkenaan dan suspek telah menceroboh masuk ke dalam rumah wanita itu ketika dia berada di bahagian dapur.
“Kemudian, pengadu segera menghubungi polis dan bertindak atas maklumat itu, pasukan MPV dari Balai Polis Rawang berjaya menahan suspek semasa membuat rondaan berhampiran lokasi kejadian sekitar jam 11.30 malam hari sama,” jelasnya.
Justeru, beliau meminta orang ramai untuk mengambil langkah keselamatan dan berjaga-jaga semasa berada di rumah dengan sentiasa menguncir pintu rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette















