KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,049 serbuan terhadap kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram dilaksanakan sejak 2022 hingga Mei tahun ini, membabitkan 629 tangkapan serta rampasan 75,578 mesin perlombongan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.
Menurut Shamsul Anuar, kerjasama antara agensi diperkukuh menerusi perkongsian maklumat, operasi bersama dan penyelarasan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan tindakan lebih pantas serta berkesan dapat dilaksanakan.
“Daripada tahun 2022 sehingga Mei 2026, kita telah lakukan serbuan kepada 3,049 tempat. Daripada jumlah tersebut, 629 tangkapan telah dibuat dan rampasan sebanyak 75,578 mesin.
“Ini menunjukkan kita memang mengambil tindakan. Cuma aspek pendakwaan, saya akan berikan data tersebut secara bertulis,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kegiatan perlombongan mata wang kripto haram terus berlaku berikutan permintaan terhadap aset digital itu masih tinggi selain turun naik nilainya yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada sindiket.
Bagaimanapun, katanya, faktor keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan penyambungan bekalan elektrik secara haram bagi mengurangkan kos operasi.
“Kesalahan jenayah yang dimaksudkan adalah aktiviti perlombongan mata wang kripto yang dijalankan secara haram, termasuk penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah, pengubahsuaian meter atau pencurian sistem bekalan elektrik.
“Ia menyebabkan kerugian kepada pembekal bekalan elektrik serta melibatkan penggunaan lokasi perlombongan yang tidak mendapat kelulusan,” katanya.
Shamsul Anuar berkata, mata wang kripto di Malaysia adalah sah untuk dibeli dan didagangkan, namun tidak diiktiraf sebagai mata wang sah negara.
Sebaliknya, katanya, aset digital itu dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah perundangan berkaitan aset digital, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) memantau aspek kestabilan kewangan, sistem pembayaran serta pematuhan terhadap keperluan anti-pengubahan wang haram.
Beliau berkata, bagi kes membabitkan unsur jenayah, PDRM akan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk kesalahan khianat di bawah Kanun Keseksaan.
Bagi kes melibatkan pencurian bekalan elektrik, tindakan akan diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa dengan kerjasama rapat PDRM.
Mengulas cadangan supaya undang-undang berkaitan aktiviti perlombongan mata wang kripto diperketatkan, beliau berkata, perkara itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap sektor tenaga.
“KDN sentiasa terbuka untuk memberikan pandangan dan kerjasama dalam sebarang usaha menambah baik perundangan serta mekanisme penguatkuasaan supaya tindakan terhadap kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan bersepadu antara kementerian dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan kegiatan perlombongan mata wang kripto haram dapat dibendung, terutama yang melibatkan penyalahgunaan bekalan elektrik sehingga menyebabkan kerugian kepada negara dan gangguan kepada komuniti setempat. – MalaysiaGazette
















