Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Bebas mengenai Orang Asal seperti yang pernah disyorkan sebelum ini sebaliknya memilih untuk menubuhkan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung Malaysia berdasarkan dapatan kajian semakan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian mendapati majoriti responden tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya bebas berkenaan.

“Sebanyak 55.7 peratus responden menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kebangsaan Bebas mengenai Orang Asal.

“Sebagai alternatif, kajian mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung Malaysia yang mencontohi model Maori Council di New Zealand,” katanya.

Rubiah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 (Kertas Statut 102 Tahun 2026) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis berkenaan akan berfungsi sebagai badan penasihat rasmi kepada menteri dalam semua perkara berkaitan kepentingan masyarakat Orang Asli selaras dengan prinsip penentuan kendiri (self-determination) yang digariskan dalam United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP).

Dalam pada itu, kerajaan sedang merangka Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) yang memberi tumpuan kepada tujuh bidang utama iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.

Beliau berkata, dasar itu dirangka bagi memperkasakan masyarakat Orang Asli menerusi pembangunan yang inklusif tanpa menjejaskan identiti, hak adat dan budaya mereka.

Mengulas isu tanah adat, Rubiah berkata, sehingga Mei lalu, sebanyak 315 daripada 853 Kampung Orang Asli yang diiktiraf atau 37 peratus telah diwartakan, manakala 363 kampung lagi telah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan pewartaan.

Katanya, sebanyak 68 kampung pula masih dalam proses pengukuran oleh jurukur tanah berlesen sebelum proses pewartaan dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, urusan tanah adat berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terus mengadakan libat urus dan advokasi bersama kerajaan negeri bagi mempercepatkan proses pewartaan tanah Orang Asli.

Rubiah turut memaklumkan pindaan Akta Orang Asli 1954 kini sedang diperhalusi melibatkan aspek bukan tanah, termasuk pengiktirafan lembaga adat, penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung, pendidikan, pengangkatan serta pendaftaran perkahwinan dan perceraian masyarakat Orang Asli sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast