Gambar hiasan

SEGAMAT – Didikan politik daripada ibu bapa masih menjadi panduan kepada pengundi muda, namun apabila tiba hari mengundi, mereka memilih untuk membuat keputusan sendiri selepas menilai kempen, ceramah dan tawaran yang dibawa setiap calon.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini, semakin ramai pengundi kali pertama mengakui mereka dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai kecenderungan politik tertentu.

Bagaimanapun, mereka enggan mengundi semata-mata mengikut pilihan ibu bapa.

Sebaliknya, mereka sanggup menghadiri ceramah pelbagai parti bagi mendengar sendiri idea, manifesto serta kemampuan calon menjawab isu yang dibangkitkan rakyat.

Puteri Nur Balkis Alizam

Pengundi kali pertama, Puteri Nur Balkis Alizam, 19, berkata pandangan keluarga tetap dihormati, namun keputusan di peti undi adalah tanggungjawab yang perlu dibuat berdasarkan penilaian sendiri.

“Mak ayah memang ada bagi panduan dan berkongsi pengalaman mereka dalam politik. Tapi bila saya dah layak mengundi, saya rasa saya sendiri kena dengar apa semua calon tawarkan.

“Baru kita boleh nilai siapa yang benar-benar layak dipilih. Sebagai anak Felda saya juga berharap calon yang menang nanti dapat meneruskan pembangunan masyarakat Felda dan menjaga masa depan generasi kami,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengakui gementar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih namun tidak sabar melihat keputusan PRN Johor pada Sabtu ini.

Muhammad Aiman Jasmin

Bagi Muhammad Aiman Jasmin, 20, menjadi pengundi bermakna seseorang perlu memahami politik negara dan tidak sekadar mengikut pilihan orang lain.

“Saya pergi ke beberapa ceramah sebab nak dengar sendiri apa calon cakap. Bila orang ramai bangkitkan masalah, kita boleh tengok sama ada mereka benar-benar faham atau sekadar pandai berjanji.

“Mak ayah kita boleh beri panduan, tetapi akhirnya kita sendiri yang akan memangkah. Sebab itu saya mahu pilih calon yang amanah dan bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui di Segamat.

Ahmad Firdaus Mutalib

Manakala bagi seorang pengundi muda, Abdul Firdaus Mutalib, 18, berkata, tempoh berkempen merupakan peluang terbaik untuk mengenali calon sebelum membuat keputusan mengundi.

“Setakat ini saya cuba hadir ke kempen dan faham apa yang mereka bawakan. Penting untuk kita belajar sebelum mengundi.

“Nasihat saya kepada pengundi muda, jangan malas ambil tahu. Ikut perkembangan politik, dengar semua calon dan pilih siapa yang benar-benar boleh bekerja untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, media sosial sekadar menjadi sumber maklumat awal, manakala penilaian sebenar dibuat selepas melihat sendiri bagaimana calon berinteraksi dengan rakyat ketika berkempen.

“Jangan terlalu percaya pada Tik Tok atau apa yang viral sahaja, kena tengok sendiri,” katanya lagi.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih pada Sabtu ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast