Pengarah Pilihan Raya PKR, Dr N Sathia Prakash bercakap ketika ditemui pada Program Jom! Saringan Kesihatan Percuma DUN Puteri Wangsa sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 07 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Pengundi Johor diingatkan supaya menyemak kesahihan setiap maklumat yang diterima di media sosial sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. N. Sathia Prakash berkata, banyak isu sengaja diputar belit bagi mengelirukan rakyat sepanjang tempoh berkempen.

“Contohnya isu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim naik kereta BMW 7 Series kalis peluru. Ramai terus membuat pelbagai andaian tanpa mengetahui fakta sebenar.

“Hakikatnya, beliau menggunakan sebuah Mercedes yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong. Ketika ini kenderaan tersebut sedang menjalani penyelenggaraan.

“Buat sementara waktu, beliau menggunakan kenderaan lain bagi urusan rasmi program dan acara yang dihadirinya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika program pemeriksaan kesihatan di Tebrau semalam.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Dr N Sathia Prakash melakukan saringan kesihatan kepada orang ramai yang hadir pada Program Jom! Saringan Kesihatan Percuma DUN Puteri Wangsa sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 07 JULAI 2026.

Isnin lalu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan Perdana Menteri menggunakan sebuah kenderaan BMW berperisai baharu, sambil menegaskan ia merupakan aset sedia ada milik Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA).

Sementara itu, Dr Sathia melihat penerimaan pengundi sepanjang 11 hari berkempen di Johor berada pada tahap yang positif walaupun berdepan pelbagai serangan di media sosial.

“Maklum balas yang diterima di lapangan jauh berbeza dengan persepsi yang cuba dibentuk di platform digital,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Johor keluar mengundi dalam jumlah yang tinggi bagi memastikan keputusan pilihan raya benar-benar mencerminkan kehendak rakyat.

“Kita harap kadar keluar mengundi sekurang-kurangnya mencecah 85 peratus. Undi adalah hak rakyat. Gunakan hak itu dengan membuat pilihan berdasarkan fakta dan pertimbangan yang matang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast