KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani menyambut baik langkah industri perbankan memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global dan konflik di Asia Barat.
Kementerian Kewangan berkata, inisiatif tersebut merangkumi pengenalan Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran automatik (ATM) bank serta bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS yang terjejas.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab.
“Ketika rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan memainkan peranan penting membantu pelanggan menerusi penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana menyahut saranan kerajaan untuk mengorak langkah ke arah sistem kewangan yang lebih manusiawi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Kad Kredit Asas diperkenalkan bagi menyediakan pilihan kemudahan kredit yang lebih ringkas, berpatutan dan terangkum kepada rakyat untuk mengurus aliran tunai harian secara bertanggungjawab.
Produk berkenaan menawarkan kadar pembiayaan maksimum 14 peratus setahun berbanding had semasa 18 peratus, selain menetapkan had kredit yang lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemat.
Tambahnya, pemegang kad kredit sedia ada juga dibenarkan memindahkan baki tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa dikenakan sebarang caj atau bayaran.
Selain itu, mulai 1 Julai lalu, rakyat Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di lebih 14,000 mesin ATM bank di seluruh negara tanpa dikenakan caj RM1.
Kementerian Kewangan menambah, langkah tersebut mencerminkan komitmen industri perbankan dalam memastikan perkhidmatan kewangan asas lebih mudah diakses oleh rakyat.
Jelasnya, bagi peminjam yang terkesan akibat krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat, bank-bank turut menyediakan bantuan bersasar mengikut keperluan masing-masing, termasuk penangguhan sementara bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran serta pelanjutan tempoh pembiayaan.
Sejak akhir April lalu, bank-bank telah menerima dan memproses permohonan penjadualan serta penstrukturan semula pinjaman membabitkan pembiayaan melebihi RM4.7 bilion melibatkan lebih 1,100 peminjam.
Pada masa sama, pembiayaan kepada sektor PMKS terus berkembang dengan pembiayaan tertunggak mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada Mei 2026.
Di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PMKS bernilai RM5 bilion, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat 25 Jun lalu kepada sekitar 1,500 peminjam PMKS yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Menurut kementerian itu, industri perbankan turut komited memproses permohonan bantuan dalam tempoh tujuh hari bekerja, dengan baki peruntukan kira-kira RM4 bilion masih tersedia bagi menyokong lebih ramai peminjam.
Peminjam dan PMKS yang terkesan disaran menghubungi bank masing-masing lebih awal untuk mendapatkan bantuan bersesuaian, selain memanfaatkan skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), Credit Guarantee Corporation (CGC) dan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Kerajaan Madani berkata, ia akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia dan industri perbankan bagi memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, terangkum serta berpihak kepada rakyat. – MalaysiaGazette
















