KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM18,000 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sibu, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 3 petang di Jalan Pahlawan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan 11 gram ketulan kristal disyaki ketamin, 190.15 gram serbuk jus disyaki mengandungi campuran dadah jenis ekstasi serta 500 mililiter cecair disyaki mengandungi campuran ekstasi.
“Rampasan dalam serbuan pertama dianggarkan bernilai RM2,912,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan tangkapan itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Jalan Belatok kira-kira pukul 3.45 petang pada hari sama.
Dalam serbuan kedua, polis merampas 514.6 gram serbuk jus disyaki campuran dadah jenis ekstasi, 191 gram ketamin serta 1,000 mililiter cecair disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi dengan nilai rampasan RM15,536.25.
Abang Zainal berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan benzo.
Menurutnya, suspek yang mempunyai rekod lampau kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah. – MalaysiaGazette
















