ALOR GAJAH – Tiga pelajar lelaki cemas selepas dikejar seorang rakan mereka sambil memegang sebilah pisau pemotong dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini petang tadi.
Tindakan pantas guru yang berjaya merampas pisau berkenaan dan mengelakkan insiden buruk dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang di dewan sekolah itu.
Menurut sumber, kejadian berlaku apabila tiga pelajar lelaki dikejar oleh seorang pelajar lelaki Tingkatan 1 yang sedang memegang pisau pemotong.
“Bagaimanapun tindakan pantas seorang guru sambil dibantu beberapa guru lain berjaya menyelamatkan keadaan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan terhadap mana-mana pelajar atau guru dalam insiden tersebut.
“Pelajar yang memegang senjata itu dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental dan memerlukan pengambilan ubat secara berkala,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu sedang menyemak kes berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor cedera selepas dipercayai ditikam antara antara 14 hingga 16 kali pada bahagian badan dan muka dalam kejadian sekitar 9 pagi.
Kejadian yang tular di media sosial itu turut memaparkan sekumpulan pelajar bertempiaran lari selepas seorang individu dipercayai pelajar sekolah itu dilihat memegang sebilah pisau di kawasan sekolah berkenaan.
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun telah ditahan polis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – MalaysiaGazette
















