Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Sebanyak 718.43 kilogram (kg) vape atau rokok elektronik yang disyaki mengandungi bahan terlarang seperti dadah sintetik, tetrahydrocannabinol (THC), ekstrak mushroom dan bahan psikoaktif lain dirampas pihak berkuasa sejak 2023 hingga Jun lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, rampasan itu melibatkan 400 kes dengan seramai 585 individu ditahan dalam tempoh berkenaan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berdasarkan rekod polis, jumlah rampasan tertinggi direkodkan pada 2023 iaitu sebanyak 471.50 kg membabitkan 66 tangkapan dalam 32 kes.

“Pada 2024, jumlah rampasan menurun kepada 62.68kg dengan 114 tangkapan melibatkan 92 kes. Trend kembali meningkat pada 2025 apabila sebanyak 115.22 kg dirampas membabitkan 138 tangkapan dalam 108 kes.

“Bagi tahun ini sehingga Mei 2026, sebanyak 69.03kg dirampas dengan 267 tangkapan melibatkan 168 kes,” katanya dalam jawapan bertulis KDN di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta  menyatakan jumlah rampasan vape mengandungi bahan terlarang sejak 2023 serta langkah penguatkuasaan bagi membanteras sindiket pengedaran vape berbahaya yang menyasarkan golongan muda dan pelajar sekolah.

Menurut Saifuddin lagi, pihaknya memandang serius trend penyalahgunaan vape bercampur bahan terlarang yang kini dikesan dipasarkan melalui platform dalam talian, media sosial dan perkhidmatan kurier.

Sehubungan itu, PDRM bersama agensi penguat kuasa lain akan terus mempergiat operasi khas bersepadu, termasuk menyasarkan premis hiburan, kios vape, makmal dadah sintetik dan lokasi yang menjadi tumpuan golongan muda.

Saifuddin berkata, menerusi Operasi Vape 1.0 yang dilaksanakan pada April lalu, sebanyak 1,670 premis diperiksa dengan 728 premis didapati melanggar peraturan.

Operasi itu turut menyaksikan rampasan 8,091 peranti vape, 5,257 kartrij vape serta 205.764kg bahan dan cecair vape bernilai keseluruhan RM4.59 juta, termasuk 19.67kg bahan dan cecair yang disyaki mengandungi dadah bernilai RM2.9 juta.

Selain itu, jelas Saifuddin, kementerian akan memperkukuh risikan serta pemantauan siber terhadap penjualan vape mengandungi bahan terlarang, meningkatkan keupayaan analisis forensik, memperhebat penguatkuasaan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 serta memperluaskan program advokasi dan pendidikan pencegahan dadah kepada golongan belia dan pelajar sekolah.

“Kementerian akan terus mengambil pendekatan tegas dan menyeluruh bagi memastikan ancaman penyalahgunaan vape berbahaya ini dapat dibanteras demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast