Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali berucap pada Ceramah Kempen DUN Layang-Layang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kluang, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2026.

SIMPANG RENGGAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menempelak tindakan pihak kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan yang didakwa menyalahgunakan kemudahan dan aset awam bagi kepentingan politik kepartian sepanjang tempoh berkempen.

Setiausaha agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan menggunakan dewan, kenderaan agensi malah kelulusan projek segera sebagai satu pelanggaran jelas di bawah Akta Pilihan Raya.

“Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang melaungkan reformasi, perkara-perkara ini mesti dihentikan. Ini bukan satu perkara yang sukar untuk dijadikan sebagai satu amalan yang sihat dalam demokrasi negara ini,” katanya ketika hadir program Ceramah Rapat Rakyat Layang-Layang di sini malam tadi.

Kata Mohamed Azmin, pihak-pihak ini dilihat masih lagi meneruskan budaya lama di mana menyalahgunakan kedudukan.

“Perkara ini mesti dihentikan demi memastikan ada ruang persaingan yang adil bagi semua parti politik,” ujarnya.

Ditanya mengapa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN)  memilih untuk tidak membentangkan ‘manifesto’ umum, Mohamed Azmin berkata, mereka memperkenalkan konsep ‘iktizam’ yang lebih realistik dan menjurus kepada penyelesaian isu setempat mengikut daerah.

“Situasi di Johor ini, negerinya agak luas dan masalahnya berbeza mengikut daerah. Contohnya di Kota Tinggi dan Tenggara, isu besarnya adalah generasi kedua Felda, perumahan dan infrastruktur.

“Tetapi di Johor Utara, timbul pula isu gangguan dan pencatuan bekalan air bersih,” katanya.

Jelasnya, disebabkan isu berbeza itu, PN mahu calon menawarkan janji yang boleh dilaksanakan.

“Kita tidak mahu janji bulan dan bintang yang akhirnya tidak dapat ditunaikan. Secara umumnya mungkin sama, tetapi ada isu-isu tempatan yang kita masukkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast