KUALA LUMPUR – Pengarah Strategi Nasional MIC, Datuk C. Sivaraj menyelar pemimpin DAP, V. Papparaidu yang membangkitkan mengenai isu SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini.
Menurutnya yang juga Ahli Dewan Negara, Pakatan Harapan (PH) sudah menerajui negara sejak 2018 dan sekali lagi pada 2022, selain bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga sudah menjalani hukuman penjaran disebabkan isu tersebut.
Malah, beliau turut mempersoalkan moral dan pertimbangan PH berkait isu itu ketika meminta Barisan Nasional (BN) membantu membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Saya menasihatkan anda supaya lebih matang dan menggunakan apa yang anda (PH) ada untuk ditawarkan kepada rakyat Johor dalam berdepan pilihan raya ketika ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Kenyataan Sivaraj itu sebagai reaksi kepada hantaran di Facebook Papparaidu yang juga Exco Selangor yang memuat naik hantaran: “Rakyat Jangan Lupa. SRC” RM42 Juta, 1MDB: RM2.3 Bilion. Jika BN menang, Siapa senang? Tapi hutang sampai 2039, anak cucu cicit kita yang perlu bayar!!!!”
Sementara itu, Sivaraj beranggapan isu Najib dan 1MDB terus dimainkan kerana pemimpin PH menjangkakan akan mengalami kekalahan besar pada PRN Johor ke-16.
“Untuk rekod, sepanjang tiga tahun lalu, ada dalam kalangan anda yang telah menutup skandal dan masalah yang lebih besar daripada 1MDB. Bukankah begitu?” dakwanya.
Dalam masa sama, Sivaraj menerusi Facebooknya turut berkongsi mengenai data keuntungan bersih daripada 1MDB dan meminta pandangan Papparaidu berhubung perkara itu.
“Atau adakah anda sendiri pernah membaca laporan 1MDB secara menyeluruh sebelum terus mengulangi hujah-hujah yang meragukan mengenai 1MDB seperti rakan-rakan anda?” katanya. – MalaysiaGazette
















