Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersama calon BN N.50 Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan calon BN N.52 Senai, Kiki Tai beramah mesra ketika hadir ke Program Santai Bersama Masyarakat DUN Bukit Permai di Southern Tiger Hub, Kulai. Foto SADIQ SANI, 09 JULAI 2027.

KULAI – Bekas menteri, Khairy Jamaluddin enggan mengulas mengenai ura-ura beliau akan menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak lama lagi.

“Later, later, later,” ujarnya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Program Santai Bersama KJ dan Jafni di Southern Tiger Hub, Bandar Putra hari ini.

Yang turut hadir ialah Calon BN kerusi DUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, calon BN kerusi DUN Bukit Batu, R Kumaran dan calon kerusi BN DUN Senai, Kiki Tai.

Terdahulu ketika berucap, Khairy berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor akan mencetuskan ‘gelombang biru’ kepada PRN seterusnya di Negeri Sembilan dan Melaka.

Justeru BN Johor perlu menggandakan usaha dalam kempen yang tinggal dua hari lagi untuk meyakinkan rakyat di seluruh negeri untuk mengundi calon parti.

Katanya, mood ketika ini terutamanya dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu khususnya serta pengundi bukan Melayu adalah lebih positif ke arah BN.

“PRN ini adalah sangat-sangat penting. Insya-Allah, 11 Julai ini kita menang, saya akan bawa gelombang biru daripada Johor ke Negeri Sembilan.

“Kita yakinkan BN bertanding solo di Negeri Sembilan pula. Menang di Negeri Sembilan, kita nak bawa gelombang biru itu pergi Melaka pula.

“Gelombang biru yang akan bermula di bumi Johor, di bumi Bukit Permai ini akan dibawa ke pilihan raya umum (PRU) tahun depan,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, kemenangan PRN Johor akan menambah keyakinan rakyat di Negeri Sembilan untuk kembali memberi sokongan kepada BN.

“Kita harap dengan insya-Allah dapat kemenangan besar di Johor, pengundi di Negeri Sembilan pun bertambah yakin.

“Sekiranya kalau dapat membentuk kerajaan yang stabil, kerajaan yang kuat, kerajaan yang tidak perlu bergabung, maka tidak perlu minta ihsan daripada mana-mana parti yang lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast