Serbuan Op Bersepadu di kilang sabun pencuci disyaki guna logo halal tidak sah di Seri Kembangan, Selangor. FOTO KPDN Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang memproses sabun pencuci di Seri Kembangan dekat sini disyaki menggunakan logo halal tidak sah diserbu dengan merampas 31,140 unit sabun pencuci dalam Operasi (Op) Bersepadu, semalam.

Dalam operasi bermula 11.25 pagi itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam yang diterima berhubung penggunaan logo halal yang tidak sah pada produk yang dibungkus oleh syarikat berkenaan.

“Siasatan mendapati kilang itu didapati memasarkan produk sabun pencuci secara dalam talian dan hasil pemeriksaan serta serbuan mendapati kilang berkenaan disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah bagi tujuan perdagangan.

“Sebanyak 31,140 paket sabun pencuci, 40,000 unit plastik pembungkusan serta beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal tidak diperakui pihak berwibawa disita dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM215,700,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari hadir dalam Op Bersepadu di kilang sabun pencuci di Seri Kembangan, Selangor. FOTO KPDN Selangor

Tambah beliau, seramai lima pekerja warga asing dan seorang pengarah syarikat warga tempatan turut diperiksa bagi membantu siasatan.

“Lima warga asing telah diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, satu kes diambil tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal), Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu di bawah subperenggan 8(b) Perintah sama,” jelasnya.

Serbuan Op Bersepadu di kilang sabun pencuci disyaki guna logo halal tidak sah di Seri Kembangan, Selangor. FOTO KPDN Selangor

Muhamad Hanif menambah, sekiranya didapati bersalah, pihak syarikat boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

“Untuk kesalahan membabitkan individu, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan sekiranya kesalahan berulang, boleh didenda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“KPDN Selangor menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan logo halal demi memastikan kepentingan pengguna dilindungi,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan logo halal boleh menyalurkan aduan lengkap kepada kementerian atau melalui WhatsApp menerusi talian 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast