KUALA LUMPUR – Tindakan DAP dan Pakatan Harapan (PH) mengitar semula naratif “Gelombang Hijau” sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencerminkan kegelisahan gabungan itu dalam berdepan pengundi.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, strategi tersebut bukan perkara baharu kerana pernah digunakan secara meluas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dengan menggambarkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebagai ancaman kepada masyarakat pelbagai kaum serta kebebasan beragama.
Bagaimanapun, katanya, landskap politik Johor kini berbeza apabila rakyat semakin matang dan lebih berhati-hati menerima naratif berasaskan ketakutan.
“Dengan maklumat semasa yang lebih pantas serta pengalaman politik beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat lebih berhati-hati menerima naratif ketakutan.
“Apabila kempen mula bergantung kepada sentimen takut, ia sering menggambarkan parti berkenaan kurang yakin dengan kekuatan tawaran dasar, rekod prestasi dan keupayaan meyakinkan rakyat melalui hujah yang rasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, kenyataan yang mengaitkan usaha menghentikan “Gelombang Hijau” sebagai usaha menghentikan Pas agak melucukan.
Menurutnya, Pas tidak pernah mendakwa parti itu mewakili Islam secara mutlak, sebaliknya hanya menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan politik.
“Namun persoalannya bukan di situ. Persoalannya ialah apabila seruan “hentikan Pas” dibungkus dengan istilah “Gelombang Hijau” yang membawa konotasi ketakutan kepada bukan Islam, ia berisiko menukar perbezaan politik biasa menjadi kegelisahan antara agama dan kaum.
“Jika DAP-PH mahu menolak Pas atas dasar polisi, tadbir urus, ekonomi atau pendekatan pentadbiran, mereka wajar berhujah di atas garis itu.
“Tetapi apabila Pas digambarkan seolah-olah ancaman kepada kebebasan hidup masyarakat bukan Islam, maka naratif itu mula bergerak ke wilayah sentimen yang tidak sihat,” hujah beliau.
Tuan Ibrahim turut mendakwa, pihak yang sering menolak politik kaum dan agama dilihat menggunakan pendekatan sama apabila berdepan Pas, khususnya melalui seruan kepada pengundi bukan Melayu supaya menolak “Gelombang Hijau”.
Beliau juga mendakwa, kemunculan semula veteran DAP, Lim Kit Siang, dalam kempen PH serta kehadiran Hew Kuan Yau menunjukkan DAP masih bergantung kepada tokoh lama bagi membangkitkan emosi penyokong.
Dalam masa sama, beliau berpendapat strategi yang digunakan ketika PRN 2023 tidak semestinya berkesan di Johor kerana pengundi kini menilai prestasi dan rekod pentadbiran PH.
Menurutnya, Pas yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak pernah mengganggu kebebasan masyarakat bukan Islam menjalankan kehidupan dan mengamalkan agama masing-masing.
Beliau turut menyifatkan dakwaan Pas mampu menguasai Johor sebagai tidak berasas memandangkan parti itu hanya bertanding di 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, Barisan Nasional (BN), yang kini menjadi rakan PH dalam Kerajaan Persekutuan, bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, DAP-PH sepatutnya memberi tumpuan kepada tawaran berkaitan ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan kesejahteraan rakyat berbanding memainkan naratif ketakutan.
Beliau juga berpandangan politik yang matang perlu mendidik rakyat untuk menerima perbezaan pendapat secara aman dan tidak menimbulkan rasa curiga antara kaum serta agama.
Menurutnya, jika sesebuah parti benar-benar yakin dengan dasar dan keupayaannya, ia tidak perlu menggunakan kempen berasaskan ketakutan bagi meraih sokongan pengundi. – MalaysiaGazette
















