KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Julai depan bagi membantu siasatan kerana disyaki mengugut seorang individu yang sedang membuat siaran langsung di TikTok di Kampung Sri Langkas, Puchong baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada 6 Julai lalu kira-kira pukul 5.30 petang ketika mangsa bersama beberapa rakannya sedang mengadakan siaran langsung di kawasan berkenaan.
Menurutnya, semasa siaran langsung itu, beberapa lelaki tempatan datang dan melarang mangsa daripada membuat rakaman di lokasi tersebut.
“Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Rahim Bai didakwa mengeluarkan ugutan dengan mengatakan bahawa sekiranya rakaman itu menjadi tular, beliau akan ‘memecahkan muka’ mangsa.
“Akibat berasa takut dengan ugutan tersebut, mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azlan berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun di sekitar Subang Jaya semalam kira-kira pukul 4.20 petang.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke mahkamah dan perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Julai telah dibenarkan bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – MalaysiaGazette
















