Rampasan dadah serta barang kes dalam serbuan di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedarkan dadah jenis cecair syabu dengan rampasan dianggarkan seberat sembilan kilogram bernilai lebih RM450,000 di Nibong Tebal, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, operasi kira-kira jam 9 malam itu, turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Nibong Tebal sejak Mei lalu.

“Rampasan melibatkan dadah jenis cecair syabu dianggarkan seberat sembilan kilogram dengan nilai melebihi RM450,000.

Datuk Dennis Lim bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang. – Gambar fail.

“Tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan berjumlah kira-kira RM70,000

“Selain itu, ujian saringan awal air kencing suspek negatif dadah dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Dennis Lim, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 13 Julai ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika disabitkan kesalahan, katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan,  pihaknya tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat dalam kegiatan dadah kerana memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang.

“JSJN komited dalam memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast