JOHOR BAHRU – Pas Johor menyifatkan kenyataan Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa parti itu tidak akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor jika BN kembali membentuk kerajaan selepas PRN Johor sebagai satu kenyataan yang angkuh.
Sedangkan, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, kenyataan mengenai kesediaan parti itu untuk bekerjasama adalah merujuk kepada kemungkinan BN tidak memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor ke-16.
Justeru, Mahfodz yang juga Timbalan Pengerusi PN Johor berkata, pemimpin UMNO Johor tidak sepatutnya menyifatkan kesediaan Pas untuk bekerjasama sebagai kelemahan, sebaliknya melihatnya sebagai usaha ikhlas demi kestabilan negeri.
“Sekiranya BN tidak memperoleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, Pas dan PN bersedia mengambil sikap matang demi kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan kesinambungan kepimpinan Melayu-Islam di Johor.
“Kesediaan Pas untuk bekerjasama jangan disalahertikan sebagai kelemahan. Pas tidak meminta-minta untuk berada dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, pendirian Pas adalah jelas iaitu mendahulukan kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan masa depan Johor, mengatasi ego serta kepentingan sempit kepartian.
Katanya, pendirian Pas Johor itu adalah selari dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengutamakan kestabilan politik negeri berbanding kepentingan parti dan bukan bertujuan mendapatkan jawatan atau balasan politik.
Menurutnya, arahan kepada penyokong Pas supaya menyokong calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Pas atau PN juga dibuat atas pertimbangan lebih besar bagi memastikan kepimpinan Melayu-Islam terus menerajui Johor.
Hari ini Onn Hafiz dilaporkan berkata, Pas tidak akan menjadi sebahagian kerajaan Johor jika BN kembali memerintah andai beliau dilantik semula ke jawatan tertinggi itu.
Onn Hafiz memberi jaminan kepada rakyat Johor bahawa Pas sama sekali tidak akan menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan ‘dalam apa jua keadaan sekalipun’.
“Saya mahu perkara itu jelas,” katanya yang juga Pengerusi BN negeri berkenaan, lapor akhbar Sin Chew.
Tambah Onn Hafiz, dakwaan Pas akan menjadi sebahagian kerajaan negeri hanyalah naratif politik bertujuan mengelirukan masyarakat Cina di Johor, menjelang hari pengundian Sabtu ini. – MalaysiaGazette
















