KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) akan terus mempertahankan pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) dan menolak sebarang usaha untuk melemahkan perlindungan keselamatan sosial pekerja.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, pelaksanaan inisiatif Lindung 24 Jam sebenarnya merupakan satu kemenangan besar kepada seluruh pekerja Malaysia dan satu reformasi penting dalam memperkukuhkan sistem perlindungan keselamatan sosial negara.
Hujah beliau, di tengah-tengah cabaran ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup, perlindungan yang menyeluruh terhadap pekerja bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan tanggungjawab negara dan hak yang sewajarnya dinikmati oleh setiap pekerja.
“Sehubungan itu, UNI-MLC membantah sekeras-kerasnya kenyataan segelintir pihak di media sosial yang cuba memperkecilkan kepentingan perlindungan ini tanpa memahami realiti sebenar yang dihadapi oleh jutaan pekerja dan keluarga mereka.
“Keselamatan, nyawa dan kebajikan pekerja tidak boleh dijadikan bahan polemik atau dikompromi semata-mata untuk memenuhi naratif populis di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UNI-MLC turut menegaskan pelaksanaan Lindung 24 Jam adalah berasaskan peruntukan undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen dan kini sedang dikuatkuasakan.
Oleh itu, sebarang cadangan untuk menarik balik atau melemahkan pelaksanaannya hendaklah melalui proses perundangan yang sewajarnya serta mengambil kira kepentingan pekerja sebagai keutamaan.
“Mengundur ke belakang selepas perlindungan ini berkuat kuasa bukan sahaja akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan sosial negara, malah memberi isyarat bahawa kebajikan pekerja boleh diketepikan apabila berdepan tekanan sentimen semasa.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang komited terhadap pembangunan ekonomi yang mampan dan
kesejahteraan tenaga kerjanya,” tambahnya.
Oleh itu, tegasnya, kerajaan mesti kekal berpegang kepada prinsip perlindungan sosial yang berasaskan fakta, keperluan rakyat dan kepentingan negara, bukannya dipengaruhi oleh tekanan atau persepsi yang tidak disokong oleh bukti.
Jelasnya, UNI-MLC bersama gerakan kesatuan sekerja telah sekian lama memperjuangkan penambahbaikan sistem perlindungan sosial pekerja.
“Pelaksanaan Lindung 24 Jam bukanlah satu keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya lahir daripada proses kajian, perbincangan dan pertimbangan dasar yang panjang demi memastikan kebajikan pekerja terus diperkukuhkan.
“Justeru, sebarang penambahbaikan terhadap mekanisme pelaksanaan boleh dibincangkan secara konstruktif melalui libat urus bersama kerajaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), majikan dan wakil pekerja,” ujarnya sambil menambah prinsip asas perlindungan 24 jam kepada pekerja tidak boleh sama sekali dikompromi atau diundur.
Malah, kebajikan pekerja bukan bahan tawar-menawar, bukan isu populariti dan bukan sekadar polemik di media sosial tetapi amanah negara serta hak yang wajib dipertahankan.
Tegasnya, sebuah negara yang benar-benar maju ialah negara yang melindungi pekerjanya, bukan mengurangkan hak mereka. – MalaysiaGazette
















