TEHRAN – Jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei telah selamat dikebumikan selepas lebih empat bulan selepas beliau terbunuh dalam satu serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Keranda Khamenei yang diselubungi bendera Iran dibawa masuk ke Makam Imam Reza di bandar kelahirannya, Mashhad di timur Iran, di hadapan lautan manusia yang menunggu di luar sambil mengikuti bacaan doa.
Bagaimanapun, tiada kelibat anak dan penggantinya, Mojtaba Khamenei muncul di khalayak.
“Pengebumian jasad syahid Pemimpin Revolusi Islam telah disempurnakan di dewan peringatan Makam Imam Reza,” lapor penyiar rasmi Iran, IRIB.
Pengebumian itu berlangsung selepas hari kedua serangan balas antara Washington dan Tehran, dengan pegawai Iran melaporkan serangan AS mengorbankan 17 orang.
Iran memaklumkan, negara itu akan menyambung semula serangan ke atas aset AS di Kuwait, Bahrain dan Qatar, manakala siren amaran turut dibunyikan di Jordan, sekutu AS, selepas tenteranya memaklumkan berjaya memintas lapan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Khamenei terbunuh bersama beberapa anggota keluarga terdekat pada hari pertama perang AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Hari terakhir dari enam hari upacara pengebumian itu turut menjadi perhatian kerana orang ramai menantikan kemunculan Mojtaba Khamenei, yang sehingga kini belum muncul di khalayak sejak diumumkan sebagai pengganti bapanya.
Speaker Parlimen yang juga ketua perunding Iran dalam rundingan dengan AS, Mohammad Bagher Ghalibaf, Ketua Hakim Negara, Gholamhossein Mohseni Ejei, serta anak sulung Khamenei, Mostafa Khamenei, hadir di makam berkenaan.
Sejak dilantik, Mojtaba Khamenei hanya mengeluarkan kenyataan bertulis.
Sebelum ini, media melaporkan beliau turut cedera dalam serangan pada 28 Februari.
Orang ramai yang berpakaian hitam memenuhi kawasan sekitar Mashhad, dengan ramai menggesa tindakan balas terhadap Presiden AS, Donald Trump.
Menurut wartawan AFP, antara sepanduk yang dipamerkan tertera slogan dalam bahasa Inggeris: “Hey Trump, we will kill you” (Hei Trump, kami akan bunuh kamu).
Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Wall Street Journal melaporkan pada Khamis, memetik sumber tanpa nama, bahawa Israel memaklumkan kepada AS mengenai maklumat risikan yang mengesan satu lagi rancangan Iran untuk membunuh Trump.
Pada hari sama, media kerajaan Iran melaporkan AS melancarkan serangan di kawasan perimeter loji tenaga nuklear awam tunggal Iran di Bushehr, memetik Timbalan Gabenor Wilayah Bushehr.
Media kerajaan turut melaporkan sebuah peluru berpandu mengenai sebuah ibu pejabat tentera di pinggir Bushehr, namun seorang pegawai pertahanan AS menafikan tentera negara itu sedang melancarkan serangan ke atas Iran ketika itu.
Media Iran juga melaporkan satu serangan AS mengenai landasan kereta api Tehran-Mashhad, kira-kira 55 kilometer dari Mashhad, menyebabkan laluan itu ditutup sementara dan penumpang dipindahkan menggunakan bas.
Tentera Iran pula mendakwa menyasarkan sistem peluru berpandu Patriot di Kuwait, sistem amaran awal di Qatar serta tangki bahan api di Bahrain menggunakan dron sebagai sebahagian daripada serangan ke atas pangkalan tentera AS di rantau itu.
Bagaimanapun, seorang pegawai pertahanan AS berkata, puluhan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Iran berjaya dipintas atau tidak menyebabkan kerosakan besar, selain tiada anggota tentera AS yang cedera. – Agensi
















