KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan, kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla pusat beli belah IOI City Mall, Putrajaya adalah bersifat sementara dan diberikan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain itu, ia turut mengambil kira kesukaran dihadapi ribuan pekerja serta pengunjung Islam di pusat beli belah berkenaan untuk menunaikan ibadah tersebut di masjid berhampiran.
Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, penjelasan itu dibuat susulan pelbagai reaksi yang timbul berhubung pelaksanaan solat Jumaat di musolla berkenaan selepas kenyataan media bertajuk “Ketetapan Berhubung Kebenaran Solat Jumaat di Surau/Musolla Pusat Beli-belah di Negeri Selangor” dikeluarkan pada 8 Julai lalu.
Menurutnya, musolla berkenaan terletak di dalam kompleks IOI City Mall, Putrajaya yang berada dalam daerah Sepang dan di bawah pengawasan serta pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Selangor.
“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di musolla itu telah diberikan bermula 6 September 2024 selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) serta mendapat perkenan Sultan Selangor.
“Keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk hasil pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan mempunyai ramai pekerja lelaki beragama Islam, selain menerima kehadiran pengunjung Islam yang berdepan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat kerana lokasi masjid yang agak jauh,” katanya dalam kenyataan.
Salehuddin menjelaskan, masjid terdekat ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Datuk Abu Bakar Baginda yang terletak kira-kira 7.6 kilometer dari premis berkenaan, manakala Masjid UNITEN di Kajang berada pada jarak sekitar 7.7 kilometer.
Tambahnya, kedua-dua masjid itu juga tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai untuk solat Jumaat.
Sehubungan itu, Salehuddin menegaskan, kebenaran yang diberikan kepada Musolla IOI City Mall hanyalah sementara dan akan ditamatkan sebaik sahaja sebuah masjid baharu berhampiran siap dibina serta mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di kawasan tersebut.
“MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di Negeri Selangor dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Negeri Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette
















