Peraih menjual pelbagai jenis durian, termasuk Duri Hitam, Musang King, IOI, durian kampung dan lain-lain pada harga serendah RM30 seguni ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 04 JULAI 2026.

Oleh: Dr. Muhamad Izaidi Ishak

MUSIM durian tahun ini membawa khabar gembira kepada pengguna apabila harga beberapa durian premium seperti Musang King dan Duri Hitam jatuh dengan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika suatu ketika dahulu pengguna perlu membayar sehingga RM30 hingga RM40 sekilogram, kini ada yang boleh diperoleh pada harga sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram di sesetengah lokasi. Namun, di sebalik kegembiraan pengguna, ramai pekebun berdepan cabaran apabila hasil tuaian yang banyak dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada jangkaan.

Walaupun harga durian menurun di pasaran tempatan, permintaan terhadap durian Malaysia di pasaran antarabangsa terus menunjukkan perkembangan yang positif. Menurut laporan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang dipetik oleh The Edge Malaysia pada 5 Julai 2026, nilai eksport durian Malaysia ke China mencecah AS$77 juta (sekitar RM313 juta) pada suku pertama tahun 2026. Malah, Malaysia menyasarkan nilai eksport durian ke China sebanyak AS$229 juta (sekitar RM932 juta) menjelang tahun 2030.

Statistik ini membuktikan pasaran China masih mempunyai potensi yang besar dan permintaan terhadap durian Malaysia terus berkembang. Justeru, isu sebenar bukanlah kekurangan permintaan, sebaliknya kadar pertumbuhan pengeluaran durian berkembang lebih pantas berbanding kemampuan pasaran untuk menyerap bekalan, khususnya dalam bentuk buah segar. Ramai pekebun mula menanam Musang King dan durian premium yang lain beberapa tahun lalu ketika harga durian berada pada tahap yang tinggi.

Kini, apabila pokok-pokok tersebut mula mengeluarkan hasil secara serentak, bekalan meningkat dengan mendadak sehingga mewujudkan lebihan penawaran dalam pasaran. Jika trend ini berterusan, keadaan yang sama dijangka berulang pada musim-musim akan datang apabila lebih banyak pokok baharu mula mengeluarkan hasil. Persoalannya, adakah industri durian Malaysia akan terus bergantung kepada penjualan buah segar semata-mata?

Keadaan ini menuntut industri durian Malaysia melihat isu lambakan daripada perspektif pemasaran, bukan sekadar pengeluaran. Lambakan durian bukan sekadar masalah bekalan, tetapi merupakan satu cabaran dan peluang untuk mencipta nilai baharu daripada hasil yang semakin bertambah.

Dalam bidang pemasaran, Ansoff Matrix merupakan salah satu kerangka strategik yang digunakan untuk merancang strategi pertumbuhan organisasi, syarikat atau perniagaan. Salah satu strategi dalam matriks ini ialah pembangunan produk. Strategi ini memberi penekanan kepada pembangunan produk baharu berasaskan produk sedia ada bagi memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah. Pendekatan ini amat relevan kepada industri durian Malaysia yang kini berdepan peningkatan pengeluaran setiap musim.

Daripada bergantung sepenuhnya kepada jualan buah segar, pengusaha boleh membangunkan pelbagai lagi produk hiliran berasaskan durian yang mempunyai nilai tambah, seperti aiskrim, jem dan lain-lain. Pendekatan ini bukan sahaja mampu
mempelbagaikan sumber pendapatan, malah mengurangkan kebergantungan kepada jualan buah segar semata-mata. Dengan cara ini, tidak semua hasil tuaian perlu bersaing dalam pasaran buah segar, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap harga ketika musim lambakan.

Namun begitu, pembangunan produk baharu tidak boleh dilakukan hanya kerana wujudnya lambakan durian. Sebaliknya, ia perlu disokong oleh kajian pasaran yang menyeluruh. Pengusaha perlu memahami cita rasa pengguna, mengenal pasti produk yang benar-benar mendapat permintaan, menganalisis trend pasaran serta menilai potensi pasaran tempatan dan antarabangsa sebelum sesuatu produk dikomersialkan. Produk yang berjaya bukan sekadar produk yang boleh dihasilkan, tetapi produk yang benar-benar dikehendaki oleh pengguna.

Selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada jualan buah segar, strategi ini turut membuka peluang kepada pembinaan jenama, peningkatan nilai produk serta pengembangan pasaran eksport. Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif, nilai sesuatu produk tidak lagi ditentukan oleh kuantiti pengeluaran semata-mata, tetapi oleh
sejauh mana produk tersebut mampu memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.

Lambakan durian yang berlaku hari ini tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif kepada industri. Sebaliknya, keadaan ini merupakan satu petanda bahawa industri durian Malaysia sedang memasuki fasa baharu yang memerlukan inovasi, kreativiti dan strategi pemasaran yang lebih mampan.

Sudah tiba masanya durian tidak lagi dilihat sekadar sebagai buah bermusim, tetapi sebagai sumber bahan mentah bernilai tinggi yang mampu menghasilkan pelbagai produk baharu untuk pasaran dunia. Jika sebelum ini kejayaan diukur berdasarkan jumlah buah yang dihasilkan, pada masa hadapan kejayaan industri akan lebih banyak ditentukan oleh sejauh
mana pengusaha mampu mencipta nilai daripada setiap buah durian yang dituai. Lambakan durian bukan sekadar isu pertanian, tetapi juga satu peluang untuk mentransformasikan industri melalui inovasi produk dan strategi pemasaran yang lebih berdaya saing.

Penulis adalah Pensyarah Pemasaran di Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Bidang kepakaran beliau meliputi strategi pemasaran, tingkah laku pengguna dan ulasan pengguna dalam talian.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast