Dadah yang dirampas dalam Op Pijat.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi warga asing dengan penahanan lapan suspek serta rampasan katrij vape disyaki mengandungi cecair dadah jenis MDMA bernilai RM152,400 menerusi Op Pijat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bersepadu yang dijalankan  pada 1 Julai lalu di sekitar Meru dan Kajang, Selangor itu berjaya menggagalkan cubaan sindiket menyeludup katrij vape berisi cecair dadah ke negara jiran.

Katanya, seramai lapan warga asing terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 40 tahun diberkas dalam dua siri serbuan hasil risikan berterusan pihak polis.

“Dalam operasi tersebut, polis merampas 500 paket plastik mengandungi katrij disyaki cecair dadah jenis MDMA seberat 4.98 kilogram serta lapan botol plastik kecil berisi cecair disyaki dadah jenis sama seberat 197 gram.

“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM152,400,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak Februari lalu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan serta pembungkusan dadah sebelum dihantar ke negara jiran melalui jalan laut menggunakan bot.

“Sindiket ini menggunakan rumah kampung di kawasan pedalaman sebagai lokasi memproses dan membungkus dadah bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelakkan kegiatan mereka dikesan,” katanya.

Hussein berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada lapan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, semakan turut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Semua suspek direman selama 11 hari bermula 1 Julai hingga 11 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Op Pijat merupakan sebahagian daripada operasi khas JSJN Bukit Aman dalam membanteras sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan yang dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur serta Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast